• Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 tidak akan digunakan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Undang-Undang Darurat dan Akta Kediaman Terhad atau akta-akta lain.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penahanan di bawah Pota haruslah dilihat sebagai salah satu cara mencegah dan proses pemulihan dan tidak seharusnya dilihat dari segi aspek perundangan dan hak asasi manusia sahaja.

Jelas Zahid lagi, Pota yang juga diluluskan di Dewan Rakyat semalam tidak akan digunakan untuk penganiayaan dan kezaliman.

"Saya memberi jaminan bahawa hak asasi manusia seperti yang diminta oleh Suhakam adalah suatau elemen yang diutamakan sewaktu Pota dilaksanakan kelak," ujarnya sewaktu ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Zahid juga turut menggesa supaya Pota diluluskan secepat mungkin bagi mencegah ancaman dari dalam negara dan juga luar negara.

"Ancaman yang ada sekarang merupakan ancaman yang sebenar, jadi Pota perlu diluluskan sekarang. Pihak kerajaan tidak perlu untuk mengambil sebarang risiko dan perlu buat membuat persediaan bagi mencegah ancaman dari dalam dan luar negara," tegasnya.

Dalam pada masa yang sama, Zahid turut mengucapkan rasa syukurnya atas solidariti yang diberikan oleh ahli Parlimen daripada BN yang telah memberikan komitmen penuh bagi menyokong Pota diluluskan di Dewan Rakyat.

"Kami mempunyai majoriti yang cukup dalam Dewan Rakyat dan jelas bahawa walaupun sembilan kali diundi secara belah bagi, ia memperlihatkan solidariti yang ada pada ahli-ahli Parlimen kerajaan.

"Ia juga memperlihatkan bahawa Pota bukan sesuatu yang mudah untuk diluluskan namun demi kepentingan rakyat dan negara akhirnya Pota ini diluluskan," katanya lagi.