• Ibu rayu doakan anak selamat pulang Fudhla Afaf Jamnul Azmin
1 / 1
SHAH ALAM - “Ya, dia masih hilang, tolong doakan dia selamat dijumpai, tolong bacakan doa dan yasin sekali,” demikian luahan  kata-kata seorang ibu Fadhilah Osman, 44, ketika menceritakan anaknya yang masih hilang sehingga ke hari ini.

Anaknya, Fudhla Afaf Jamnul Azmin,19, dilaporkan hilang Jumaat lepas (17 April 2015) tatkala mahu menaiki bas ke Klang ketika berada di hentian bas Alor Setar, Kedah.


Berbicara lanjut, Fadhilah berkata, ketika hari kejadian anaknya memaklumkan bahawa dia mahu pulang ke rumah, namun sehingga malam kelibatnya masih tidak kelihatan.


“Anak saya belajar di sekolah tahfiz Al-Hadis Alor Setar, hari itu dia maklumkan, dia hendak pulang ke rumah (Klang) tetapi sampai sekarang dia ‘menghilang’,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.


Fadhilah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarganya bagi mencari anaknya itu tapi sehingga kini masih gagal.


“Selepas dia ‘dirasakan’ hilang kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Alor Setar, kemudian satu lagi laporan polis telah di buat di Balai Polis Klang.


“Namun, pencarian anak gadis kami masih gagal, bacaan doa selamat turut kami lakukan,” katanya.


Fadhilah berkata, dia ada terdengar bahawa anaknya telah dipukau ketika kejadian.


“Saya ada mendengar bahawa anak saya dipukau, namun saya tak pasti perkara tersebut.


“Memang anak saya ada sedikit masalah sebab sebulan sebelum kejadian kami ada merawatnya di Darul Syifa,” katanya.


Oleh itu katanya, sesiapa yang melihat atau menjumpainya boleh menghubunginya atau menghantar SMS.


“Hubungi saya di talian 012-3801664, doakan dia selamat  dan sentiasa, berada bersama orang-orang yang baik,” katanya.