• Mat Sabu (dua, kiri) pada sidang media Himpunan Hari Pekerja-#BatalGST,semalam.
1 / 1


Pas yakin ahli tidak sabotaj PRK Permatang PauhKUALA LUMPUR - Pas beri jaminan ahlinya tidak akan berpaling tadah termasuk mensabotaj calon PKR yang akan bertanding pada PRK Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, tiada sebarang keputusan baharu akan diumumkan mengenai perjalanan jentera parti itu yang akan turun membantu PKR pada PRK tersebut.

“Keputusan masih  sama seperti yang diputuskan pada mesyuarat 13 April lalu bahawa Pas di negeri terlibat Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis diarah untuk membantu PRK ini.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyeru ahli dan penyokong di negeri-negeri terbabit membantu siapa juga calon yang  dipilih PKR,” katanya kepada pemberita pada sidang media Himpunan Hari Pekerja #BatalGST di  Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.

Mengulas lanjut mengenai Pas Permatang Pauh yang mendesak PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan  tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pimpinan tertinggi akan bincangkan perkara itu.

“Kita akan bincang pada  mesyuarat akan datang, saya pun tidak tengok lagi hitam putih maklumat berkenaan. Saya dah maklum pada Setiausaha Agung dan beliau  akan panggil mesyuarat Dewan Harian. Kalau perlu kita akan panggil mesyuarat, kalau tak perlu kita akan ikut arahan awal,”katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan  memberi tempoh kepada PKR sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya,  jika PKR bersetuju dan meminta maaf, baharulah pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon pada 16 Mac lalu.

Sementara itu berhubung Himpunan Hari Pekerja-#Bantah GST yang diadakan pada 1 Mei ini, Mat Sabu berkata polis telahpun dimaklumkan mengenai perhimpunan itu.

“Himpunan bermula jam 2.30 petang, para peserta akan berhimpun di Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Menara Maybank  dan bergerak ke Dataran Merdeka dan seterusnya ke KLCC," katanya.

Beliau berkata, lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik akan terlibat dalam himpunan terbabit.