•  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
1 / 2
ROMPIN - Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengingatkan semua jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak ambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini dengan menganggap kerusi itu kubu kuat BN.     

Hishammuddin, penyelaras BN bagi PRK Rompin, berkata jentera BN perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan serangan terhadap parti itu, terutama serangan bertubi-tubi terhadap pucuk pimpinan.   

"Hari ini saya lihat sendiri wanita BN sudah bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang begitu berat, pada masa parti dan pucuk pimpinan parti  kita diserang bertubi-tubi oleh pelbagai pihak," katanya.  

Beliau berkata demikian semasa melancarkan "Jentera Rakyat Wanita BN" bagi PRK Rompin di Muadzam Shah, kira-kira 60km dari sini hari ini.   

Hishammuddin berkata jentera BN perlu mempunyai jaringan komunikasi serta kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan dalam memberi penjelasan  mengenai isu dibangkitkan.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata yang pertama, pemimpin dan anggota BN perlu memastikan mesej yang disampaikan kepada pengundi  engenai program pembangunan yang telah dibawa BN ke kawasan ini adalah jelas.  

"Kedua, kita perlu pastikan jaringan komunikasi dan jawapan kita kepada pengundi senada berkaitan apa sahaja isu yang diketengahkan," katanya.   

Beliau turut mengingatkan anggota BN supaya sentiasa tenang dalam menghadapi sentimen dari luar.   

Beliau berkata kemenangan BN di Rompin sejak sekian lama sudah membuktikan bahawa jentera parti itu di sini sudah mempunyai "acuan atau template yang betul."   

Untuk itu, beliau berharap Wanita BN mampu memikul tanggungjawab sedia ada dalam mengekalkan kemenangan. - Bernama