• Datuk Mohd Mokhtar Mohd ShariffDatuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Seorang daripada empat lelaki yang ditahan sejurus perhimpunan #KitaLawan yang diadakan di sini petang semalam, merupakan individu diburu polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki itu dikehendaki kerana pernah melakukan kesalahan serius di Kuala Lumpur pada 2009.

"Tindakan susulan terhadapnya akan dilakukan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan sebagai menandakan polis tidak hanya tutup mata dalam hal ini," katanya.

Mohd Mokhtar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Johor, hari ini.

Serah terima tugas itu menyaksikan jawatan tersebut diambil alih Timbalan KJPJKK, Asisten Komisioner Wahab Haron bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Nor Azizan Anan yang bersara esok.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan empat individu yang ditahan itu termasuk Adun Bukit Batu, Jimmy Puah dan Adun Mengkibol, Tan Hong Pin.

Kesemua mereka didapati memberi ucapan ringkas kepada kira-kira 50 peserta yang memakai baju hitam membawa sepanduk 'Tolak GST, 'Undur Najib,' 'Undur Rosmah' dan 'Kita Lawan' dalam perhimpunan yang bermula pukul 4 petang itu.

Bagaimanapun, menurut Mohd Mokhtar, setelah diambil keterangan malam tadi, tiga daripada mereka yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi masih dalam tahanan.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 33 hingga 44 tahun. - Bernama