• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM – Pas menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai kecelaruan idea apabila mencadangkan penubuhan kerajaan baharu antara PR dan BN.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sedangkan sebelum ini DAP lantang mengkritik kerjasama Pas dan Umno dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Dahulu DAP kritik Pas kerana kerjasama dengan Umno (dalam isu hudud). Sedangkan kita dah jelaskan kerjasama itu bukan antara parti, tetapi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Namun cadangan Kit Siang pula lebih menjurus kepada parti. Jadi Pas rasa pelik dengan cadangan itu kerana bagi kita ada banyak alternatif lain yang boleh difikirkan,” katanya, semalam.

Kit Siang dalam ucapannya kepada penuntut Malaysia di Mesir, baru-baru ini dan disiarkan dalam blognya, sekali lagi mencadangkan agar PR dan BN menubuhkan satu kerajaan baharu dengan tema ‘Save Malaysia’.

Menurutnya, cadangan tersebut dikemukakan berikutan situasi PR dan BN kini yang berdepan krisis ‘hidup dan mati’.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga membayangkan PR bakal menjadi sejarah kerana tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menepati perjanjian dalam PR yang menjadi asas kesinambungan gabungan itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan Kit Siang itu juga tidak pernah dibincangkan antara parti komponen dalam PR.

“Ini idea baru yang saya dengar. Cadangan ini juga mustahil kerana rakyat bukan mahu lihat gabungan dengan BN dalam suasana rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. ‎

“Jika gabungan ini menjadi realiti, ia pastinya akan mengecewakan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kit Siang  juga tidak boleh menyalahkan Abdul Hadi dan menjadikannya alasan kepada cadangan gabungan PR dan BN.

“Pas masih menaruh harapan PR masih dapat diselamatkan untuk menghadapi PRU akan datang. Tetapi dengan beberapa syarat iaitu kita mesti menghormati polisi setiap parti dan tidak mencampuri urusan parti lain,” katanya.