• Khalid Samad Khalid Samad
1 / 1
KUALA LUMPUR - "Bukannya ponteng, cuma ada yang tidak dapat hadir kerana mereka berada di luar Kuala Lumpur," jelas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika ditemui di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Bercakap kepada Sinar Online, beliau berkata, tempoh sidang dewan yang kadang kala dilanjutkan menyebabkan ada di antara ahli Parlimen Pas terpaksa meninggalkan sidang demi memenuhi program lain yang telah dirancang.

"Memang ada ahli Parlimen Pas yang tidak ada semalam, saya tidak dapat agak berapa orang yang tiada sewaktu perbahasan Pota berjalan, tetapi saya kira mungkin sebahagiannya tidak hadir.

"Mereka (Ahli Parlimen BN) perlu faham bahawa kehidupan kami (pembangkang) tidak sama dengan mereka. Kami sibuk memenuhi undangan dan program untuk rakyat, kami tidak ada banyak masa macam mereka," bidasnya.

RUU Pota 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas  dibahaskan lebih 12 jam sejak semalam.

Difahamkan, beberapa kerusi ahli Parlimen Pas dilihat kosong sewaktu perbahasan berlangsung.

RUU tersebut diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).