•  Irwan Fahmi Ideris
1 / 1
SHAH ALAM - Wira Perkasa Malaysia hari ini menyokong penuh nasihat Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, nasihat Tun Mahathir itu adalah relevan dan 'kena pada waktunya'.

"Kritikan Tun Mahathir adalah relevan. Pengalaman beliau selama 22 tahun sebagai pemerintah negara telah membuktikan bahawa Malaysia telah diangkat di mata dunia.

"Jasa Tun Mahathir kepada negara amat besar dan tidak ternilai. Sumbangan beliau terhadap agama, bangsa dan negara sangat berharga.

"Pembangunan pesat, penstrukturan ekonomi yang kukuh dan kehadiran di majlis-majlis rasmi serta kongres dunia telah membuktikan bahawa Tun Mahathir adalah seorang pemimpin yang berkaliber," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, jelas Irwan pihaknya akan terus 'berdiri di belakang'  Tun Mahathir dan menggesa Perdana Menteri menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya hanya mahu Najib jawab soalan rakyat']

Mutakhir ini, Dr Mahathir dilihat beberapa kali menegur Najib melalui tulisannya di blog chedet.cc, yang terbaharu menyentuh mengenai kes Altantuya, 1MDB dan ‘Nasib BN’ di bawah Najib menjelang PRU14.