• Hilang kepercayaan terhadap Nizar, KhairuddinKandungan surat yang tersebar di laman sosial.
 1 / 1 
IPOH - Dewan Ulama Pas Perak sudah hilang kepercayaan terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Yang Dipertua (YDP) Pas Tambun, Dr Khairuddin Abdul Malik khususnya berkaitan isu hudud.

Ketua Penerangannya, Norazli Musa berkata, ketetapan itu dibuat melalui mesyuarat yang diadakan Dewan Ulama Pas Negeri, Ahad lalu.

“Perkara itu disahkan dan diputuskan selepas berlangsung mesyuarat Dewan Ulama Pas Perak Ahad lalu,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tindakan bakal dikenakan terhadap kedua-dua pemimpin itu memandangkan pihaknya mahu menunggu maklum balas daripada Pesuruhjaya Pas Negeri, Razman Zakaria berhubung perkara tersebut.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri dan kami akan buat kenyataan secara rasmi selepas mendapat maklum balas beliau,” katanya.


Ketika ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang menyebarkan kandungan surat rasmi berhubung isu dalaman parti itu di laman sosial tanpa kebenaran, beliau berkata, ia amat dikesali kerana mampu mewujudkan pelbagai tanggapan liar.

“Perkara itu salah di sisi parti dan sepatutnya pihak berkenaan perlu menunggu keputusan rasmi dari Dewan Ulama Pas Negeri,” katanya.

Surat dikeluarkan oleh Dewan Ulama Pas Negeri yang tersebar tersebut adalah berhubung tindakan terhadap Mohammad Nizar dan Khairuddin diambil berikutan pendirian mereka didapati bercanggah daripada keputusan Pas khasnya berkaitan hudud.

Pendekatan diambil Dewan Ulama Pas Negeri itu juga dibuat setelah meneliti kandungan kenyataan media kedua-duanya bersama pimpinan PR berkaitan hudud, 21 Mac lalu.

Sementara itu, Mohammad Nizar ketika ditemui enggan mengulas lanjut berhubung pendirian disuarakan Dewan Ulama Pas Perak itu.

Beliau sebaliknya meminta, penjelasan lanjut berhubung kesahihan maklumat yang diperoleh mengenai pendirian hilang kepercayaan yang dinyatakan jawatankuasa berkenaan.

“Tanya mereka semula,” katanya ringkas.