• Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin
 1 / 1 
KUALA LANGAT - Jentera Pemuda Umno telah bersiap sedia sekiranya berlaku pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Rompin berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam kemalangan helikopter petang semalam.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kemungkinan berlaku dua pilihan raya kecil dalam masa terdekat, iaitu di Permatang Pauh dan Rompin, Pemuda UMNO bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa dan beliau percaya mampu melakukan yang terbaik.

"..dan dalam masa terdekat ini selepas selesai segala urusan mengenai allahyarham, saya akan memanggil semua jentera Pemuda UMNO untuk bermesyuarat bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga Sukan Parlimen Kuala Langat di sini hari ini.

Jamaluddin meninggal apabila helikopter yang dinaiki beliau bersama lima yang lain terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang semalam.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh pula kosong apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen pada 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari lepas. - Bernama