• Rafizi nafi surat lantik calon Permatang Pauh Twitter Rafizi yang menafikan penyebaran surat yang mengarahkan semua ahli menyokong Wan Azizah dan Nurul Nuha sebagai calon PRK Permatang Pauh.
1 / 1
SHAH ALAM – Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran surat palsu yang sedang tersebar luas dalam laman sosial dengan menggunakan pakai kepala surat ibu pejabat PKR berhubung calon parti itu pada PRK Permatang Pauh.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa kewujudan surat palsu bukan perkara baru kerana ia sering digunakan oleh musuh parti itu bagi tujuan propaganda.

“Surat ini adalah palsu dan sering digunakan sebagai propaganda oleh musuh kami. Jangan mudah percaya,” tulisnya dalam akaun Twitternya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penyebaran surat parti itu yang mengarahkan semua ahli dan kepimpinannya supaya memberi sokongan penuh kepada dua calon yang telah ditetapkan PKR untuk bertanding dalam PRK P44 Permatang Pauh dalam masa terdekat.

Dua calon yang didakwa sudah ditetapkan PKR ialah presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuannya, Nurul Nuha Anwar.

Perkara itu timbul selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Rabu lalu mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas petisyen rayuan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak.

Keputusan itu sekaligus bermaksud hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar hendaklah diteruskan.

Selain calon, surat itu turut mendedahkan bahawa parti sekutunya, Pas didakwa tidak akan memberikan sebarang sokongan semasa pilihan raya itu berlangsung.

Malah surat itu juga mendedahkan bahawa PKR tidak akan memohon sebarang bentuk sokongan dari Pas bagi tujuan kempen PKR Permatang Pauh itu.