• Wan Azizah Dr Wan Azizah Wan Ismail
1 / 1
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bersedia jika dicalonkan sebagai calon dalam PRK Permatang Pauh.

Beliau bagaimanapun berkata, segala perkara berkaitan calon, pada akhirnya ia terletak kepada keputusan parti untuk menentukan calon sebenar.

“Parti yang akan menentukan (calon). Kami akan mengadakan beberapa mesyuarat selepas ini dan saya bersedia menjadi calon bidan terjun. Saya rasa saya perlu bersedia untuk itu.

“Ia juga terltak kepada pengundi sendiri. Saya mengenali pengundi di sana dan hanya akan berundur selepas Anwar dibebaskan.

“Saya juga berharap boleh memberi perkhidmatan yang terbaik jika mereka berharap kepada saya,” katanya ketika ditemui media di  Lobi Dewan Annex ketika Sidang Dun Selangor, hari ini.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikir Amin Mulia mengesahkan kerusi Permatang Pauh secara rasmi kosong selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak rayuan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh, Rabu depan (8 April).
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata,  ia selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, mereka perlu bersedia bila-bila masa saja selepas tarikh PRK diumumkan dan kerja di peringkat akar umbi akan diteruskan.

Ketika ditanya berhubung khabar angin mengatakan pihaknya akan meletakkan Nurul Nuha sebagai calon, Wan Azizah berkata,  hanya parti yang akan membuat keputusan berkenaan calon.

“Terpulang saja kepada parti, saya hanya memberi  mereka galakan.