1MDB nafi dakwaan Dr Mahathir
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] 1Malaysia Development Bhd
(1MDB) hari ini menafikan pelbagai dakwaan oleh bekas perdana menteri
Tun Dr Mahathir Mohamed dalam blognya yang bertajuk 'The 1MDB Story' dan
'More Investments By 1MDB.'
Antara lain, isu membabitkan wang Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA, pembelian tanah serta usaha sama dengan PetroSaudi selain RM2 bilion yang dikatakan dipinjam daripada jutawan Ananda Krishnan.
"Tidak berlaku cubaan untuk 'merampas' wang TIA. Pada 2009, pelbagai perbincangan berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu mengenai sumbangan setiap pihak sebagai pembiayaan untuk TIA, dengan pelbagai pilihan dibincangkan," kata 1MDB dalam satu kenyataan hari ini.
Akhirnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan membabitkan jaminan terbitan Sukuk
RM5 bilion Sukuk oleh TIA, yang dilaksanakan pada 29 Mei 2015, sebelum TIA dijadikan badan milik Kerajaan Persekutuan.
"Susulan itu, kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk menarik diri
daripada TIA, yang menjurus kepada entiti itu menjadi milik Kerajaan
Persekutuan pada Julai 2009."
Bertentangan dakwaan bahawa tiada kertas kabinet dibentangkan mengenai terbitan Sukuk terbabit, 1MDB berkata, kertas Kabinet mengenai perkara itu disediakan dan diluluskan oleh Kabinet, selari dengan amalan standard, sama seperti semua jaminan lain kerajaan.
"Tambahan pula, jaminan kerajaan bukannya 'off-budget' seperti didakwa. Ia merupakan liabiliti yang jelas dan diperakui Kerajaan Persekutuan, yang memegang 100 peratus kepentingan 1MDB," katanya.
Mengenai dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa semua orang mengetahui Ananda Krishnan perlu menyediakan RM2 bilion untuk membayar faedah, syarikat pembangunan strategik itu berkata, 1MDB memang meminjam wang RM2 bilion yang diurus oleh anak syarikat Tanjong PLC, yang digunakan untuk membayar pinjaman RM2 bilion yang disediakan oleh sebuah sindiket peminjam dalam negara.
"Ia tidak digunakan untuk membayar faedah, seperti yang didakwa Tun Mahathir," katanya.
Menurut 1MDB aturan itu berkait dengan perjanjian langganan Powertek Investment Holdings (PIH), anak syarikat Tanjong, dengan Tanjong bersetuju melanggan ekuiti dalam PIH sehingga RM2 bilion, dengan keuntungan akan digunakan semata-mata untuk PIH untuk membayar balik pinjaman yang diperoleh menerusi kemudahan pinjaman RM5.5 bilion yang diurus oleh Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.”
Oleh itu, jelas bahawa Tanjong mempunyai obligasi untuk melanggan sehingga RM2 bilion ekuiti dalam PIH, dengan keuntungan akan digunakan untuk membayar balik kemudahan pinjaman," kata 1MDB.
Namun katanya disebabkan kerahsiaan, ia tidak dapat menjelaskan lebih lanjut kandungan perjanjian itu yang membabitkan mengapa pihak-pihak yang terlibat akhirnya mengubah pelaburan ekuiti RM2 bilion kepada pinjaman RM2 bilion, katanya.
Mengenai dakwaan berhubung 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak yang dijual oleh kerajaan kepada 1MDB pada harga RM320 juta, sedangkan tanah berdekatan dijual pada RM7,000 sekaki persegi, dan 1MDB perlu membayar sekurang-kurangnya RM3,000 hingga RM4,000 sekaki persegi, 1MDB berkata, ia membayar RM230 juta, bukan RM320 juta, untuk membeli tanah itu.
Sebagai pulangan kepada pemindahan aset bernilai AS$2.7 bilion, Joint Venture Company perlu membayar sejumlah AS$700 juta kepada PetroSaudi. Hutang ini wujud daripada pemindahan aset. Dan tidak ada pinjaman dibuat atau "perlu dilangsaikan'.
Pada 29 September 2009, 1MDB melaksanakan perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi.
Selepas penilaian bebas diselesaikan, 1MDB menyumbang AS$1 bilion dalam bentuk tunai, sebagai pulangan ke atas 40 peratus pemilikannya dalam Joint Venture Company, dan PetroSaudi menguasai baki 60 peratus kepentingan dalam Joint Venture Company.
Sumbangan 1MDB adalah dalam bentuk tunai, dengan sumbangan aset PetroSaudi yang dinilai secara bebas berjumlah AS$2.7 bilion, kata 1MDB.
Menurut 1MDB, ia merupakan sebahagian daripada perjanjian usaha sama, dengan AS$1 bilion daripada 1MDB, AS$700 juta akan digunakan untuk membayar PetroSaudi atas pemindahan aset awal kepada Joint Venture Company dengan AS$300 juta lagi kekal dalam Joint Venture Company.
Setelah berpuas hati terhadap penilaian bebas itu, mengikut perjanjian usaha sama berkenaan, 1MDB membuat bayaran AS$700 juta kepada anak syarikat PetroSaudi, dan memperoleh hak sah ke atas 40 peratus saham Joint Venture Company, sebuah syarikat bebas dengan aset bernilai AS$2.7 bilion pada masa itu.
Menurutnya, PetroSaudi mempunyai hak penuh ke atas AS$700 juta yang dibayar oleh 1MDB dan dana ini adalah untuk kegunaan PetroSaudi, mengikut budi bicaranya. - Bernama


1 orang berkata:
Mcm kapal selam sekopen la agaknya ni duit hilang kat org tengah bayar sana bayar sini akhirnya tak ketahuan dimana duit tu.cuma ini masalah yg lebih besar.kapal selam sekopen dua butir je ni buat melebur duit entah kemana-mana.sudah merugi ke sudah hilang ke byk menjadi tanda tanya kerana asyik putar-putar n main sembunyi.lempar batu boleh le sembunyi tangan.lempar duit bilion-bilion mana mahu sembunyi.dok tipu kanan tipu kiri situ aje le
Post a Comment