Tiga pendaki disahkan cedera akibat gempa bumi
05/06/2015 3:45pm
KOTA KINABALU - Tiga pendaki setakat ini disahkan mengalami kecederaan susulan kejadian gegaran akibat gempa bumi dengan kekuatan 5.9 skala Richter yang berlaku di Gunung Kinabalu pagi tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga pendaki yang mengalami kecederaan itu ialah pelancong Turki, Semiha Turkay, 35 dan dua warga tempatan dikenali James Mikol, 29 serta Robi Satanggi, 30.
Katanya, Semiha mengalami kecederaan di pinggang dan patah kaki kiri manakala Robi yang bekerja sebagai malim gunung cedera di kepala.
"Seorang lagi mangsa iaitu James yang merupakan jurulatih mendaki disahkan cedera di kaki dan tangan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan," katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Jalaluddin berkata, gegaran akibat gempa bumi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi itu telah dirasai oleh penduduk di 12 daerah di negeri ini dengan daerah Ranau mencatat kemusnahan paling teruk.
Tambahnya, berdasarkan rekod yang didaftarkan, seramai 151 pendaki dan malim gunung terperangkap di laluan pendakian Kilometer 7.5 ketika kejadian berlaku.
"Daripada jumlah itu, 29 pendaki telah selamat turun ke bawah manakala 40 pendaki yang lain belum dapat disahkan keadaan mereka," ujarnya. - KOSMO!
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz3cAoQMsNE


0 orang berkata:
Post a Comment