• Muktamar Pas
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) mengkritik kepimpinan ulama kerana tidak menegur ahlinya supaya menghentikan budaya melabel dan fitnah yang wujud dalam parti sejak sekian lama.

Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata, DHPP  tidak mahu suasana berpecah, tidak bersatu wujud dalam Pas  dan mahukan suasana lebih harmoni.


“Kami terpinga-pinga dan terkejut dengan budaya fitnah-memfitnah dan label-melabel seumpamanya berlaku di dalam parti Islam,” ujarnya.


Beliau bertanya kepada Pas, khususnya kumpulan ulama sama ada terdapat larangan di dalam al-Quran yang menghalang seseorang melakukan amalan berkenaan.


“Saya tidak pasti sama ada dalam Islam, dalam al-Quran ada tidak larangan supaya jangan memfitnah dan jangan melabel orang lain. Kalau ada, kenapa ulama tidak mengawal ini berlaku dalam parti.


“Kenapa ulama tidak menegur gejala ini. Kalau label-melabel ini ada dalam al-Quran, saya minta jasa baik ulama agar menunjukkan saya ayat mana dan terjemahannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 di Kuala Selangor, semalam.


Beliau berkata, sekiranya ada larangan tersebut dalam al-Quran, DHPP ingin supaya amalan itu tidak berlaku dalam dewan penyokong itu.


“Kami berharap Islam yang dibawa kepimpinan ulama supaya ke hadapan.

“Kami menumpang kasih Islam dibawa oleh Pas.

“Jika kita sering melaungkan Islam adalah penyelesaian, buktikanlah masalah yang berlaku dalam Pas ini secara Islam,” ujarnya.