• DAP, Pas DAP, Pas
1 / 1
KUALA SELANGOR – Layanan terhadap DAP mungkin berbeza dan diteruskan dengan ‘cara’ lain selepas Majlis Syura Ulama Pas mempertimbangkan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Bagaimanapun kata Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Selangor, Ahmad Hakimi Othman, hubungan dengan Pakatan Rakyat masih diperkukuh memandangkan DAP bukanlah lawan dalam pilihan raya.

Malah katanya, Pas tidak tergugat bila berdepan pilihan raya kerana lawannya adalah Umno/BN yang sudah difahami rentak dan strategi mereka berbanding DAP yang perlu berdepan Gerakan, MCA, MIC dan PPP.

“Pastinya usul itu menerima reaksi agresif DAP yang seolah-olah lupa dengan tindakan mereka memutuskan hubungan dengan Presiden Pas dan sayap pada tiga bulan lalu.

“Malah beberapa DAP negeri turut memutuskan hubungan dengan Pas dan tokoh yang sebelum ini berbeza pendapat dengan presiden menggunakan media untuk ‘membelasah’ Pas,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ahmad Hakimi berkata, Pas kini berdepan dengan cabaran kepimpinan baharu selain bersedia menghadapi serangan agresif parti lawan dan rakan seperjuangan yang kecewa dalam pemilihan sebelum ini.

“Pimpinan baru Pas perlu berdiri teguh dan terus melangkah gagah ke depan tanpa menghiraukan suara sumbang yang tidak puas hati dengan perkembangan terbaru Pas.

“Kesepaduan dalam barisan baharu adalah aset penting dalam mengukuhkan Pas dan perjuangan Islam yang menjadi dasar prinsipnya, sekali gus menggilap kepimpinan akar umbi seluruh negara.

“Pas boleh mula mengorak langkah dengan mengukuhkan dakwah Islam dan mukjizat al-Quran memandangkan Pas kini menjadi tumpuan media dengan pelbagai tuduhan dan cerita palsu.

“Kita boleh lihat dari perspektif yang pernah dilalui Nabi Muhammad SAW di Makkah apabila tuduhan menimbulkan tanda tanya orang yang mempunyai mata yang cerah dalam mencari kebenaran,” katanya.

Tambahnya lagi, reputasi melalui propaganda buruk itu bertukar kepada tumpuan bijak pandai mendapat cerita sebenar Nabi Muhammad SAW dan apa yang baginda terangkan tidak lain hanyalah penyelesaian ALLAH iaitu wahyu al-Quran sebagai panduan.

“Mengambil iktibar itu, Pas tidak boleh berhenti mengutarakan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penyelesaian selain kesepaduan di bawah kepimpinan ulama mendapat sinar dengan kepimpinan baru pasca muktamar ke-61.

“Saya juga yakin Pas berada di landasan betul memperjuangkan Islam tanpa tergugat dengan krisis dalaman, hanya perlu penuhi syarat ALLAH untuk mencapai kemenangan dan terus istiqamah,” katanya.