• Mohd Amar AbdullahMohd Amar Abdullah
 1 / 1 
KOTA BHARU - Pas Kelantan memberi ‘peluang’ kepada Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan janjinya sehingga hujung tahun ini bagi membenarkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, jika ia tidak berlaku, kekecewaan tersebut bukan sahaja dirasai penyokong Pas, namun ia memberi kesan kepada semua pihak yang menyokong pelaksanaan hukum Islam itu.

“Kita tunggulah bulan Oktober nanti untuk sesi Parlimen seterusnya, kita beri peluang kepada Umno untuk menunaikan janjinya sehingga hujung tahun ini. Jika tidak, kita akan perang habis-habisanlah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan tidak akan dapat dibahaskan selagi agenda dan urusan kerajaan tidak selesai, sebagaimana yang dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurutnya, Pas Kelantan menghormati dan bersikap adil dalam melihat perkara tersebut melalui banyak skop memandangkan dalam suasana kini, banyak perkara lain yang mungkin perlu mendapat pertimbangan yang sama.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut memberitahu, oleh sebab yang munasabah pihaknya masih memberi peluang kepada kerajaan pusat selesaikan dahulu segala keperluan kerajaan sebagaimana yang ternyata iaitu usul persendirian tidak boleh dibahas selagi agenda-agenda kerajaan di bawah peraturan mesyuarat tidak diselesaikan.

“Selepas ini (sesi parlimen bulan Oktober) kita ada sebulan lebih, masa itu panjang dan Insya-ALLAH masa itu kita harap Umno akan menunaikan janji mereka,” katanya.