• Analisis Berita
1 / 1
[VIDEO] MUKTAMAR Pas kali ini dilihat sebagai satu muktamar bagi menentukan saf kepimpinan yang mantap.

Sama ada golongan ulama terus memimpin atau golongan profesional mendominasi Pas ke alaf baru.

Label 'Budak DAP' atau 'Geng UG' (Geng Unity Goverment) merupakan paling popular digunakan dalam serangan terhadap mana-mana pemimpin yang bertanding pada pemilihan kali ini.

Sebanyak 29 jawatan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas ke-61 yang akan bermula Khamis hingga Sabtu ini di Kuala Selangor.

Kesemua jawatan itu meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden serta 24 jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Jawatan Presiden buat pertama kali dicabar sejak 12 tahun apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan ditentang Ahmad Awang.

Begitu juga bagi jawatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu selaku penyandang bakal dicabar Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jawatan Naib Presiden pula, menyaksikan enam pencalonan termasuk dua penyandang, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub serta empat pencabar iaitu Idris Ahmad, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Mahfuz Omar serta Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pula menyaksikan 55 calon bertanding untuk mengisi 18 kerusi.

Jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas pula menyaksikan pertandingan antara penyandang, Suhaizan Kaiat dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga anak Allayarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi jawatan timbalannya pula, dua pencalonan diterima iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Manakala Muslimat Pas turut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Siti Zailah Mohd Yusoff dan Nuridah Salleh akan bersaing untuk jawatan ketua manakala Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Rosni Adam bertanding untuk jawatan timbalan ketua.

Dalam Pas, pertembungan dalam politik golongan ulama dan golongan profesional sudah lumrah, namun kesemuanya akur dengan wadah dan dasar perjuangan parti iaitu kepimpinan ulama.

Kumpulan pro-Ulama melakukan kempen yang dilihat lebih terancang.

Tumpuan banyak pihak kini terarah kepada ke mana Pas selepas muktamar nanti?

Jika pimpinan Pas dikuasai barisan ustaz, apakah akan kekal dalam Pakatan Rakyat atau memilih untuk bersendiri atau juga bekerjasama dengan Umno.

Tumpuan juga terarah kepada kumpulan yang tewas, apakah akan hanya berdiam diri untuk mencuba lagi dalam pemilihan akan datang atau bertindak keluar Pas dan menubuhkan parti baru?

Ikuti laporan penuh dari semasa kesemasa bersama kami di Sinar TV.