• Md Alwi Che Ahmad Md Alwi Che Ahmad
1 / 1
KOTA BHARU – Tindakan pemimpin DAP yang kini sering menyerang dan menghina kepimpinan ulama Pas wajar mendapat reaksi keras dari parti Islam itu.

Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, beberapa perkara yang dilakukan rakan komponen PR itu menjelang Muktamar Pas bagaikan sudah memberi isyarat awal kepada Pas sikap sebenar parti itu.

“Contohnya mahu kekal dengan Pas, tetapi putus dengan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Itu seolah-olah menghantar isyarat kepada Pas dan ahlinya.

“Jika kau mahu bersama ku, buang presiden kamu, itu sangat biadab dan kurang ajar. Walaupun reaksi Dewan Ulama ini agak lambat, tetapi lebih baik lewat daripada tidak buat langsung,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas Dewan Ulama Pas Pusat yang sebulat suara meluluskan usul tergempar supaya parti itu putuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP semalam.

Usul tersebut dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik, yang menegaskan ia dilakukan susulan serangan berterusan DAP terhadap Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Alwi berkata, sebagai ‘orang luar’ yang juga orang Islam, tindakan DAP tersebut wajar dikecam dan yang pastinya parti itu tidak sesuai dijadikan kawan.

Beliau yang juga Adun Kok Lanas itu berkata, DAP juga didakwa mahu mendominasi politik di Malaysia dengan melatih dan melahirkan boneka badut Melayu Islam melalui Pas dan lain-lain.

“Kini DAP merasakan mereka sudah boleh menembusi pemikiran orang Melayu dan berjaya rekrut boneka badut melalui beberapa kerat Melayu dalam DAP.

“Proses ini akan berterusan sehingga mereka berjaya menguasai politik negara. Saya tidak terkejut dengan sikap Dewan Ulama Pas  malah memuji mereka kerana sudah berpijak dibumi nyata. Unsur-unsur melemahkan Islam di bumi ini sangat wajar ditentang,”katanya.

Namun begitu, Alwi turut menyatakan kebimbangannya kepada Pas, tidak kira Dewan Ulama mahupun tokoh-tokoh kepimpinan tertinggi parti itu.
 
“Mereka (Pas) suka ‘u-turn’ (pusing balik), kadang-kadang matlamat menghalalkan kan cara. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan kan cara dan cara juga tidak menghalalkan matlamat.

“Islam mengamalkan cara itu kena betul, maka matlamat juga kena betul,” katanya.