• Noh Omar Noh Omar
1 / 1
‎SHAH ALAM - Umno Selangor mengambil sikap tunggu dan lihat krisis yang berlaku antara Pas dan DAP berkaitan kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, secara peribadi beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana ia melibatkan krisis dalaman parti pembangkang.

Namun katanya, apabila DAP membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu yang sepatutnya keluar pakatan pembangkang.

"DAP yang sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang kerana perjuangan mereka sudah ditolak. Tambahan ramai pemimpin Pas yang sokong DAP sudah tewas pada muktamar parti itu," katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Mini Karnival Kemahiran Bahagian Pendidikan Masyarakat Kemas Selangor di Anggerik Mall, semalam.

Turut hadir Pengarah Kemas Selangor, Mohd Adnan Md Daud dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Pada muktamar parti itu, Dewan Ulama meluluskan usul sebulat suara putus hubungan dengan DAP tetapi Abdul Hadi menegaskan Pas tetap persama pakatan selagi mana tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

Desakan itu dibuat selepas DAP didakwa berlakunya campur tangan dahsyat parti itu dalam Pas termasuk pemilihan parti yang memperjuangkan Islam itu.

Sementara itu mengulas program yang dianjurkan Kemas, Noh berkata, ia adalah satu tindakan proaktif dalam melahirkan generasi kemahiran tinggi.

Beliau berkata, semangat untuk minat dalam ilmu kemahiran perlu ditanam ketika di peringkat pra sekolah lagi.

"Bila sudah dewasa, kejayaan bukan sahaja berdasar akademik tetapi kemahiran. Sekarang ini kita ada 25 peratus tenaga mahir dan akan dipertingkatkan sehingga 35 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.