• Fahmi Fadzil
1 / 1
SHAH ALAM  - Pimpinan PKR bakal tampil menjadi orang tengah dalam siri pertelingkahan yang semakin berpanjangan antara dua rakan komponennya, Pas-DAP bagi ‘menyelamatkan’ perikatan pembangkang itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, melalui satu mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR, parti itu mengadakan perbincangan mengenai keadaan terkini politik tanah air dan memutuskan untuk bertemu pimpinan Pas-DAP dalam masa terdekat.

“Menyedari bahawa 52 peratus pengundi di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah menaruh harapan kepada sistem dwi-parti untuk membawa perubahan kepada persada politik Malaysia, maka PKR bertekad dan istiqamah untuk terus perjuangkan harapan rakyat berlandaskan kerangka PR.

“...daripada keputusan PRK Permatang Pauh dan Rompin, PKR sedar rakyat mendambakan perubahan melalui PR. Momentum perubahan ini perlu diteruskan. Oleh itu, PKR akan menerajui usaha untuk menjadi penghubung demi mempertahankan aspirasi rakyat yang mahu melihat PR kekal,” katanya melalui satu kenyataan.

Sebelum ini, Pas meluluskan usul Dewan Ulama Pas dalam Muktamar Pas Pusat ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor untuk memutuskan hubungan dengan DAP namun kekal dalam PR tanpa perbahasan.