• Najib Tun Razak
1 / 1
SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan kekalahan BN pada PRU14 adalah tidak benar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, sekiranya BN kekal bersatu, beliau percaya bahawa rakyat akan membuktikan bahawa kenyataan Dr Mahathir sebelum ini adalah silap.

“Sebelum ini Dr Mahathir kata BN akan kalah pada PRU akan datang tetapi saya ingin tanya sejak bilakah seorang individu itu berhak untuk bercakap bagi semua pengundi di negara ini?

“Dakwaan itu adalah palsu dan didorong oleh kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan negara,” katanya dalam blog miliknya, NajibRazak.com, hari ini.

Jelasnya, keadaan pembangkang ketika ini yang berada dalam keadaan krisis disebabkan oleh perbezaan ideologi bakal memberi peluang kepada BN untuk terus mendapat mandat daripada rakyat.

Menurut beliau, serangan berterusan yang dilakukan oleh Dr Mahathir dilakukan terhadapnya disebabkan oleh keengganan beliau untuk melaksanakan tuntutan peribadi.

“Saya menolak kerana ini tugas saya sebagai seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi untuk memimpin negara ini dan percaya segala perkara yang  dilakukan oleh saya adalah untuk kebaikan negara dan bukannya untuk kebaikan seorang individu.

“Saya percaya rakyat tidak mahu bekas Perdana Menteri yang memerintah melalui proksi,” katanya.

Najib berkata, Dr Mahathir sengaja mencipta krisis dengan mengambil tindakan secara melulu iaitu mengatakan RM 42 bilion telah hilang dari syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Begitu juga dengan kenyataan yang mengatakan aset kewangan syarikat bernilai kira-kira RM16 bilion adalah ‘tiada nilai’.

“Kenyataan –kenyataan ini adalah palsu dan dicipta untuk mewujudkan rasa panik,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sekiranya Dr Mahathir meletakkan fakta serta menjelaskan bahawa RM42 bilion adalah hutang, maka ia akan menjadi cerita yang berbeza.

“Ini kerana  syarikat biasanya mempunyai aset yang bernilai tinggi sebagai cagaran terhadap hutang. Dalam kes 1MDB, hutang RM42 bilion disokong oleh RM51 bilion aset pada 2014. Tetapi dia (Dr Mahathir) memilih untuk tidak mengendahkannya,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Dr Mahathir salah kerana membuat tuduhan tidak betul dengan menyatakan jumlah sebanyak RM42 bilion atau RM27 bilion yang dikatakan hilang.

 “Selepas 1MDB mendedahkan keberadaan RM42 bilion itu, Dr Mahathir berkata, beberapa bilion telah hilang. Ini peralihan nombor dan hujah-hujah yang menimbulkan keraguan serius terhadap tuntutan beliau.

“Sebagai perdana menteri, menjadi tanggungjawab bagi saya untuk memastikan bahawa semua entiti di bawah bidang kuasa kerajaan dan juga 1MDB, berfungsi dengan baik,” katanya.

Najib menegaskan sekali lagi bahawa sebarang perbuatan salah laku tidak akan terlepas daripada menerima tindakan undang-undang.

“Saya mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan siasatan terhadap 1MDB dan laporan itu kemudiannya disalurkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi urusan penelitian telus,” katanya.

Mengulas lanjut, sekiranya Dr Mahathir mahukan jawapan yang dibangkitkan melalui isu 1MDB, beliau hanya perlu menunggu keputusan yang akan dikeluarkan oleh ketiga-tiga badan itu untuk menyelesaikan siasatan kes itu.

Namun, katanya, Dr Mahathir seperti tidak berkeyakinan dengan kesemua institusi ini dan jawapan yang akan diberikan kelak.

“Perkara ini berlaku kerana serangan Dr Mahathir bukanlah disebabkan oleh 1MDB. Tetapi, beliau menggunakan isu ini untuk menyerang serta menundukkan Perdana Menteri yang sedia ada. Sekiranya 1MDB tidak wujud, beliau akan menggunakan alasan lain,” katanya.

Najib berkata, hal ini sangat memalukan bagi Dr Mahathir kerana berpaling untuk menentang kepimpinan partinya sendiri.

Menurutnya, serangan yang dilakukan oleh beliau akan merosakkan Umno, kerajaan dan juga negara.