• Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - Bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan kekalahan mempertahankan jawatannya di dalam pemilihan di dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 itu adalah berikutan pendekatan politiknya yang sudah tidak relevan lagi.

Menurutnya, dengan kekalahan itu beliau akan mempunyai masa untuk memunasabahkan diri dan melakukan banyak perkara.

Mengulas lanjut berhubung kekalahan itu, Salahuddin berkata, biasanya apabila menang, sedih. Namun kali ini beliau kalah tetapi gembira.

"Cuma pagi ini ada kawan-kawan tegur, saya kalah lupa cari seluar. Mahfuz (Datuk Mahfuz Omar) lupa pakai samping dan Mat Sabu (Mohamad Sabu) pakai kot," katanya sambil disambut dengan gelak ketawa perwakilan Pas di dalam Dewan Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.

Salahuddin turut mengibaratkan dirinya seperti Nokia yang ditinggalkan kerana kewujudan Samsung, Oppo dan iPhone.

"Semasa saya pimpin Pemuda dahulu. Saya selalu nasihat kawan-kawan, kita jangan jadi Nokia yang angkuh terbina tiba-tiba hari ini (semalam) Samsung, iPhone dan Oppo. Mungkin saya macam Nokia agaknya.

"Saya rasa kadang-kadang kita harus periksa diri untuk mencari nilai tambah, apa yang kurang dan terus belajar," katanya dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas ke-61, semalam.

Salahuddin juga berkata, pemilihan kepimpinan baharu ini adalah bagi masa hadapan Pas.

"Terbukti masa depan Pas ada pada jalur pemuda. Saya bangga hari ini (semalam) adik-adik telah dapat mengalahkan kecemerlangan abang-abang," katanya.