Setiausaha Pas P. Pinang dihenti kerja
GEORGETOWN - Kemelut DAP-PAS semakin meruncing apabila Setiausaha Pas
Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam
kerajaan negeri telah diberhentikan kerja berkuat kuasa Jumaat lepas.
Notis bertarikh 12 Jun dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri itu
telah dihantar dengan tangan kepada Mohd Fadzil Kemi yang memegang
jawatan sebagai Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau
Pinang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus yang mengesahkan
notis tersebut berkata beliau yakin notis itu telah diterima oleh Mohd
Fadzil pada Jumaat lepas kerana telah dihantar dengan tangan.
"Notis pemberhentian perkhidmatan itu berkuat kuasa pada 12 Jun 2015
dengan bayaran satu bulan gaji menggantikan notis selaras dengan fasal
9, perjanjian kontrak telah dihantar kepada Mohd Fadzil," katanya kepada
Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, dalam tempoh perjanjian kontrak setahun yang ditandatangani
pada 12 Disember tahun lepas, mana-mana pihak boleh menghentikan kontrak
tersebut tanpa sebarang alasan.
Sementara itu usaha untuk mendapat maklum balas daripada Mohd Fadzil
yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, gagal
kerana beliau tidak dapat dihubungi.
Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan telah
mendesak kepimpinan baharu Pas untuk mengarahkan wakil- wakilnya untuk
mengundur diri.
Beliau berkata adalah tidak logik kepimpinan baharu Pas masih cuba
berbelit-belit bahawa mereka masih membincangkan usul memutuskan
hubungan dengan DAP, bila usul itu "diterima" tanpa bahas dan "bukan
dirujuk" oleh Muktamar Pas.
Lim berkata, tiga wakil Pas dalam kerajaan Pas, iaitu Mohamad Sabu,
Mujahid Yusof Rawa dan Rosidi Hussain telah meletakkan semua jawatan
mereka dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
Kemelut DAP-Pas berlaku selepas Dewan Ulama Pas sebulat suara
meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam
Muktamar Tahunan Pas ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf
siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment