• Nahas Hercules
1 / 1
JAKARTA - INDONESIA. Orang awam rakyat tempatan dibenarkan menumpang pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) sebagai pengangkutan untuk ke sesuatu destinasi yang tidak mempunyai perhubungan jalan darat.
 
Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Ryamizard Ryacudu dipetik oleh siaran berita televisyen tempatan sebagai berkata, ia bukan satu masalah jika terdapat orang awam menumpang pesawat Hercules itu kerana ia adalah amalan sejak dulu lagi.
 
"Kalau mahu ikut (sememangnya) boleh saja (menaiki pesawat milik tentera). Dari dulu begitu," katanya.
 
Beliau berkata, kebenaran untuk membawa orang awam menumpang pesawat Hercules itu adalah sebagai usaha mengeratkan hubungan antara TNI dan rakyat, yang mana tentera tidak mengenakan sebarang bayaran.
 
Ryamizard juga menafikan kononnya orang awam dikenakan bayaran untuk menaiki pesawat tentera seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.
 
Media tempatan memetik beberapa anggota keluarga mangsa orang awam yang menaiki pesawat malang berkenaan yang mendakwa mereka dikenakan bayaran antara Rp800,000 hingga Rp1 juta bagi perjalanan ke Kepulauan Riau itu.
 
Pesawat Hercules milik TNI AU yang membawa 122 orang termasuk 12 anak kapal terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara pagi semalam.
 
Pesawat buatan 1964 itu terhempas pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan dan menghempap deretan rumah kedai, sebuah spa dan sebuah bangunan Pusat Perubatan Tradisional.
 
Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban manakala puluhan mayat orang awam juga ditemui di bawah runtuhan bangunan dan bangkai pesawat. 
 
Setakat ini sebanyak 142 mayat ditemui iaitu termasuk mayat orang awam yang menjadi mangsa di tempat kejadian dan kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan. - Bernama