KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pas tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan yang dipercayai diketuai oleh seorang pemimpin Umno.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan pihaknya tidak pernah pelawa berbuat demikian termasuk dengan menggunakan akaun bersumpah (SD).
 
"Saya dan kawan-kawan ahli Parlimen Pas tak ada dipinang (dipelawa) atau apa-apa, itu urusan Umno, jadi kita tengok bagaimana mereka selesaikan isu ini.
 
"Kami ahli Parlimen Pas setakat ini tak ada terlibat dalam perkara ini," katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
 
ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/ada-usaha-guling-kerajaan-guna-pintu-belakang-1.419753
 
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan terdapat pemimpin Umno kini sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.
 
Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.
 
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh juga memberi jaminan bahawa Pas sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memastikan ahli-ahlinya mematuhi undang-undang sepanjang himpunan Bersih 4.0 pada hujung bulan ini.
 
Beliau selaku Ketua Pemudanya sebaliknya berkata pihak polis sewajarnya memberi ruang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman untuk menyatakan ketidakpuasan mereka kepada polisi kerajaan. 
 
"Kita minta pihak keselamatan beri kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun
 
"Pihak keselamatan atau pihak kerajaan jangan menghalang rakyat daripada menyokong untuk menyatakan sikap mereka terhadap polisi kerajaan," katanya lagi.