JOHOR BAHRU – “Saya perlu tutup mulut kerana simpan rahsia kerajaan,” itu ucapan spontan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 29 Julai lalu.

Beliau sebelum ini menjadi tumpuan ketika menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang menjalankan prosiding 1MDB.

Nur Jazlan mengakui pada mulanya menolak ketika Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tawaran pelantikan terbabit kerana menganggap ia bukan satu tugas mudah.

“Benar pada mulanya saya menolak... kerana tugas sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri adalah tanggungjawab berat selain memerlukan kesabaran, kegigihan dan pandangan tinggi.

“Namun, apabila beliau (Zahid) menyebut saya membawa sejarah arwah bapa (Tan Sri Mohamed Rahmat), saya menjadi sayu. Walaupun pada awalnya gementar dengan tawaran itu, akhirnya saya akur kerana kepercayaan diberikan.

“Itulah cara Umno. Persahabatan, kekeluargaan dan sejarah dibawa, mengikat kita untuk terus berkhidmat dan berkorban tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri walaupun jiwa bergolak, saya terima kerana sejarah perjuangan dan wasiat arwah bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Perwakilan Kali ke-28, Umno Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, semalam, yang dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk seri Ir Idris Haron.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengakui pelantikan itu turut mengimbau kembali pada 1998 ketika pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ketika itu saya menjadi Exco Pemuda Umno di mana Ketua Pemudanya adalah Ahmad Zahid dan ditugaskan untuk berdepan dengan Pemuda Melaka berhubung isu berkenaan.

“Disebabkan gementar saya tidak tahu apa perlu diperkatakan dan hanya meminta supaya sabar dan bertenang kerana kebenaran akan muncul juga. Namun, saya berasa lega pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak begitu.

“Ketika itu, demonstrasi jalanan amat hebat, namun saya berasa lega kerana setakat ini keadaan tenang dan tiada bantahan seperti itu kerana sebagai Timbalan Menteri di KDN adalah tanggungjawab saya terhadap keamanan dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau juga khuatir pengguguran Timbalan Presiden Umno dari Kabinet sekali lagi membakar semangat ahli Umno untuk memberontak. Namun situasi itu membuktikan ahli parti faham dengan keputusan Presiden.

Katanya, sebelum pemecatan Anwar, Umno sangat kuat namun akibat perpecahan, parti semakin lemah namun masih mampu menang pilihan raya.

Nur Jazlan mengingatkan jika perpecahan terus berlaku akan mengakibatkan ‘malapetaka’ lebih besar kepada Umno
.