SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Pas yang akhirnya mengisytiharkan identiti masing-masing tanpa berselindung di sebalik nama parti lagi.

Menurutnya, ahli-ahli Pas yang masih belum melakukannya diharap dapat memilih jalan sama jika sudah berpatah arang dengan perjuangan Pas.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah pun isytihar keluar Pas dan melepaskan jawatan masing-masing. Ia penyelesaian yang saya harapkan berlaku. Ia penyelesaian paling mudah. Yang dah berpatah arang dan mula menghentam Pas dengan pelbagai jenis hentaman, tiada lagi premis untuk mereka kekal dalam Pas. Mereka sayugia keluar.

“Dalam maklumat yang saya peroleh secara rasmi, masih ada yang belum isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang sama. Ia membantu kedua-dua pihak yang bertelagah,” katanya melalui kemas kini status di Facebook.

Beberapa Pas kawasan termasuk di negeri ini telah mengumumkan peletakan jawatan untuk bersama gerakan Harapan Baru.

Mengulas lanjut, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan melepaskan jawatan itu juga dapat memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya yang tidak lagi berminat dengan tanggungjawab mereka dalam Pas.

“Pas Shah Alam misalnya, bertindak cepat mengisi kekosongan. Begitu juga kawasan-kawasan yang telah dikosongkan dan akan dikosongkan selepas ini. Saya doakan Pas akan kembali teguh berperanan di dalam masyarakat seperti asalnya.

“Manakala bagi rakan-rakan yang telah keluar Pas pula, mereka semestinya boleh bergerak lebih bebas tanpa terbeban dengan tanggung jawab yang mereka telah tidak lagi berminat dengannya. Melepaskan beban yang tak perlu adalah nikmat bagi setiap kita,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pas Johor, Selangor dan Perak iaitu antara negeri yang menerima serangan kuat dari Harapan Baru namun menolak fitnah dan tohmahan yang dilemparkan dengan menampilkan sikap istiqamah yang tinggi.

“Bagi ahli Pas, adalah jelas berterang cahaya matahari dan bulan, jikalah benar Pas telah lari daripada landasan ugama dan perjuangan, ALLAH pasti tidak akan jadikan sebab utamanya ialah kerana pecahnya PR akibat sikap keras DAP terhadap matlamat perjuangan Pas.

“Menjadikannya alasan adalah seperti bergayut di sarang lelabah,” katanya.