Tidak timbul isu perpecahan ahli Pas
Dr Alias Razak
KUALA TERENGGANU – Dakwaan berlaku perpecahan akar umbi sekiranya
berlaku gabungan politik antara Pas dan Umno sepatutnya tidak timbul
kerana ia hanya berdasarkan andaian bukan berdasarkan situasi sebenar
senario politik negara hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kajian
dijalankan Institut Darul Ihsan (IDE) tidak boleh dijadikan sandaran
kerana Pas tidak pernah memutuskan untuk menjalin kerjasama bersama
Umno.
“Isu perpecahan sepatutnya tidak timbul kerana kita tidak bergabung pun
dengan Umno. Mana boleh kajian berdasarkan andaian sedangkan perkara
itu belum berlaku.
“Tiada langsung dalam kamus Pas untuk mengadakan gabungan politik
bersama Umno, jadi pihak berkenaan tidak boleh kata akan berlaku
perpecahan dalam kalangan ahli Pas sekiranya berlaku gabungan antara dua
parti politik ini,” katanya ketika diminta mengulas hasil kajian
dikemukakan Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati kerjasama Umno dan
Pas akan mengundang perpecahan dalam kalangan ahli parti.
Alias berkata, kerjasama yang dijalankan sekarang adalah berdasarkan
kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, bukan dari segi
gabungan politik.
“Buat masa ini, Pas mainkan peranan untuk tegur perkara mungkar, hatta
kawan sendiri pun kita kena tegur dan tentang sekiranya berlaku
kemungkaran,” katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pas Dungun, Azman Shapawi Abdul Rani
berkata, sebahagian besar ahli Pas akan berpecah sekiranya berlaku
gabungan politik bersama Umno berdasarkan corak pemerintahan kerajaan
sedia ada sekarang.
“Jika diikutkan suasana politik hari ini dan perangai ditunjukkan
pemimpin Umno, kemungkinan akan berlaku perpecahan di sebahagian besar
ahli Pas sekiranya berlaku gabungan dua parti ini.
“Namun, sekiranya Umno mengambil keputusan untuk menukar dasar
pemerintahan bersandarkan al-Quran, melaksanakan hukum hudud sebagaimana
yang dituntut dalam agama, laksana syariat Islam sebagaimana yang telah
ditetapkan, tiada berlaku perpecahan,” katanya.
Azman Shapawi berkata, buat masa ini gabungan politik antara Pas dan
Umno tidak akan berlaku kerana dua pihak hanya menjalinkan kerjasama
politik berdasarkan peranan dimainkan antara kerajaan pusat dan kerajaan
negeri.
“Gabungan politik dan kerjasama politik adalah dua perkara yang
berbeza. Contoh, masing-masing ada peranan tersendiri kerana kerajaan
negeri tiada kuasa penuh dalam semua perkara seperti kejadian banjir
yang berlaku teruk tahun lalu di Kelantan.
“Dalam hal itu, kita memerlukan kerjasama antara dua pihak iaitu
bersama pihak pemerintah. Tetapi, dalam isu gabungan parti politik, buat
masa ini, ia belum berlaku. Sekiranya berlaku dalam keadaan Umno tidak
ubah dasar pemerintahan, perpecahan teruk dalam kalangan ahli dijangka
akan berlaku,” katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment