'Tak usahlah lantik saya', kata Ku Li
Tengku Razaleigh Hamzah
GUA MUSANG - Kelmarin, barisan kabinet Kerajaan Malaysia sebulat suara
memutuskan untuk melucutkan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional (Petronas).
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku
Li) menolak dakwaan mengatakan beliau antara calon untuk dilantik
memegang jawatan tersebut selepas Dr Mahathir dan menyatakan lebih
selesa dalam keadaan sekarang.
"Tak usahlah lantik saya kerana hati saya lebih senang dalam keadaan
begini (tanpa jawatan)," komen ringkas Ku Li kepada pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah
Kebangsaan (SK) Tohoi, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Ab Aziz
Abdullah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Ketua Polis Daerah Gua Musang,
Superintendan Saiful Bahri Abdullah.
Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan
kabinet berpendapat Dr Mahathir sewajarnya tidak lagi memegang sebarang
jawatan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan kerana beliau tidak lagi
didukung kerajaan sedia ada.
Ketika diminta pendapatnya mengenai perlucutan jawatan Dr Mahathir, Ku
Li yang juga bekas Pengasas Petronas berkata, perkara itu bukan isu
baharu.
Menurutnya, sebelum ini Dr Mahathir pernah menyerahkan surat peletakan
jawatan sebagai Penasihat Petronas kepada kerajaan tetapi ditolak dan
bekas perdana menteri itu diminta terus menerajuinya.
"Saya diberitahu bahawa, sebelum Kabinet meluluskan pelucutan jawatan
itu, Dr Mahathir lebih awal menyerahkan surat peletakan jawatannya
sebagai Penasihat Petronas. Lagipun tiada peruntukan menyatakan
Penasihat Petronas boleh dilantik dalam kalangan bekas pemimpin kerajaan
seperti Dr Mahathir.
"Berdasarkan Akta Kemajuan Petroliam, ahli Majlis Penasihat Petroliam
perlu dilantik dari kalangan pegawai kanan kerajaan, pakar-pakar minyak,
wakil negeri pengeluar minyak dan penasihat kerajaan menengai minyak
dan lombong," katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment