Pekerja asing: MoU dengan Bangladesh batal?
SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
diingatkan agar tidak hanya mengumumkan tiada sebarang pengambilan
pekerja asing baharu di negara ini berkuat kuasa serta-merta hanya
kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal menjelang.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Ahmad Zahid perlu mengotakan apa yang dikatanya semalam.
“Jangan kerana hanya untuk menghadapi PRN Sarawak tidak berapa lama
lagi atau untuk menyejukkan keadaan di mana pelbagai pihak sedang marah
terutama kesatuan sekerja dan media sosial ketika pengangguran dan
pembuangan kerja di kalangan penduduk tempatan semakin serius,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan Kabinet telah memutuskan bahawa tiada
sebarang pengambilan pekerja asing akan dilakukan berkuat kuasa
serta-merta dan mana-mana majikan dan ejen yang membawa masuk pekerja
tanpa izin ke negara ini akan berhadapan dengan hukuman sebat bukan lagi
denda.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pihak kerajaan menerusi Kementerian
Dalam Negara (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain
kementerian tidak akan meluluskan mana-mana permohonan majikan untuk
membawa pekerja asing dari luar kecuali sektor pembantu rumah.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tutup, tiada lagi 1.5 juta pekerja Bangladesh!]
Dalam pada itu, Idris berkata, rakyat mahu ketegasan dan penjelasan
kerajaan tentang status perjanjian persefahaman (MoU) antara Bangladesh
dengan Malaysia yang ditandatangani bulan lalu untuk membawa masuk 1.5
juta pekerja Bangladesh secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.
“Berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus.
“Apakah MoU itu terbatal begitu sahaja? Apa reaksi di pihak kerajaan
Bangladesh? Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana
membatalkan MoU ini?,” tanyanya.
Dalam kenyataan sama, Idris berkata, kerajaan perlu membuat satu
penegasan mengenai pekerja asing memandangkan banyak sektor yang boleh
melibatkan orang tempatan di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
“Maka kerajaan mesti membuat saringan semula untuk memastikan tenaga
asing yang diperlukan sahaja untuk bekerja di negara ini. Selebihnya
perlu dihantar balik ke negara mereka dan ditempatkan penduduk tempatan
di sektor tersebut,” katanya.
Dua hari selepas MoU itu ditandatangani, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa
kerajaan telah membekukan pengambilan semua pekerja asing termasuk dari
Bangladesh untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula levi dua kategori
ke atas pekerja asing dan memberi tumpuan kepada program penggajian
semula pekerja asing.
Sementara, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dilaporkan
berkata keputusan pembekuan itu tidak menjejaskan kesahihan MoU yang
ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh di Dhaka.


0 orang berkata:
Post a Comment