Cikgu dilempang bapa murid sampai lebam
BUKIT BERUANG - Gara-gara melempang murid dipercayai tidak mengikut
arahan, seorang guru dilempang semula hingga lebam oleh bapa murid
berkenaan di kantin Sekolah Kebangsaan Ayer Molek di sini, semalam.
Guru pendidikan jasmani berusia 37 tahun itu turut diugut untuk
dicederakan mengguna cota yang dibawa bapa murid lelaki darjah lima
berkenaan selepas bertindak melempang guru kira-kira jam 7.45 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin
Kassim berkata, ekoran kejadian, guru berkenaan membuat laporan di Balai
Polis Kandang jam 9.30 pagi selain mendapatkan pemeriksaan di Hospital
Melaka.
"Siasatan awal mendapati pengadu melempang murid berkenaan ketika Ujian
Segak dan Kecergasan pada Rabu lalu sebelum suspek yang juga seorang
pekerja hotel di negeri ini datang bertemu pengadu keesokan pagi
(semalam).
"Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan bertindak melempang pengadu
hingga cedera di pipi kanan selain mengugut akan mencederakan pengadu
diluar sekolah menggunakan cota yang dibawa bersama ketika itu,"
katanya.
Kamaluddin berkata, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat dan
mendakwa pengadu sengaja berbuat demikian terhadap anaknya yang sering
tidak menyiapkan kerja sekolah sebelum suasana tegang itu dileraikan
guru-guru terdapat di kantin.
"Polis kemudian bertindak menangkap suspek yang berusia 37 tahun itu di
tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang semalam bantu siasatan di bawah
Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan mendatangkan
kecederaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata,
pihak sekolah telah menghubungi ibu murid berusia 11 tahun itu untuk
menghadiri sesi permuafakatan.


0 orang berkata:
Post a Comment