Gambar viral: Ada sebab saya berjalan dengan mereka
Bekas
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan bersama
pemimpin pembangkang antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas sesi
pembukaan Dewan Rakyat, semalam.
DAMANSARA - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, tiada istilah bersekongkol dengan pembangkang berhubung gambar
viral 'mesra' beliau bersama pemimpin pembangkang di Parlimen baru-baru
ini.
Katanya, gambar itu tidak perlu dijadikan isu kerana di Parlimen ia
sudah menjadi kebiasaan kepada ahli-ahli Parlimen untuk 'berkawan'
dengan mana-mana ahli.
"Pada waktu itu, saya sedang menuju ke majlis perasmian. Ketika
berjalan ke Dewan Rakyat, saya nampak ramai di belakang saya termasuk
beberapa pemimpin Umno.
"Di hadapan, kiri, kanan saya ada Lim Guan Eng dan lain-lain. Kami di
Parlimen ini kadang-kadang tak kisah latar belakang kita hendak
berjalan, bercakap minum dekat kafe duduk di meja bersama-sama.
"Jangan mudah tafsirkan bahawa saya telah masuk kepada pihak
pembangkang. Ingat saya ini Umno totok tetapi tidak bermakna sebab itu
kita harus mengikut mereka atau bersekongkol dengan mereka. Pada zahir
saya tidak melihat itu sebagai isu kerana di Parlimen biasa seperti
itu,"katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Damansara hari ini.
Pada Isnin lalu, foto Muhyiddin berjalan beriringan dengan kumpulan
Pakatan menuju Dewan Rakyat di Parlimen dilaporkan menjadi viral.
[ARTIKEL BERKAITAN: Berjalan dengan pembangkang timbul persoalan]
Difahamkan, gambar tersebut diambil selepas tamat perbarisan di Parlimen lebih kurang jam 10.30 pagi.
Sementara itu, tambah Muhyiddin lagi, ada kemungkinan apabila beliau
mempunyai masalah, pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak sanggup
hendak rapat dengannya lagi.
"Nak bergambar dengan saya pun takut, takut nanti mereka (pemimpin BN)
juga dipecat oleh sebab 'bersekongkol' dengan Muhyiddin,"katanya.
Ujarnya lagi, tiada orang Umno hendak datang bergambar dengan beliau
kerana pimpinan tertinggi parti mengatakan mereka bersekongkol dengan
beliau.
"Jadi awak jangan marah Muhyididin. Awak sendiri takut hendak berkawan
dengan Muhyiddin tengok orang lain dah rapat dengan saya.
"Tapi jangan dengan mudah menuduh saya sudah masuk ke kancah
pembangkang, bersekongkol dengan mereka ini semua permainan psikologi
pihak-pihak yang memang tidak bersetuju dengan sayalah," katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment