'Saya tak mahu disoal di akhirat kelak'
Muhyiddin Yassin
SHAH ALAM –“Saya tidak mahu disoal di akhirat kelak apa yang saya buat
untuk menentang kemungkaran ketika saya masih berupaya untuk
melakukannya.
"Saya tahu bahawa ia bukan sesuatu yang mudah dan amat menguji
kesabaran. Tetapi saya yakin bahawa ALLAH sentiasa bersama dengan orang
yang sabar,” demikian ujar Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, perjuangan menentang kemungkaran merupakan kewajipan bagi
setiap Muslim dan ia juga menentukan tahap keimanan seorang Muslim.
“Saya sebagai seorang Muslim, hanya menjalankan kewajipan saya di sisi
agama. Saya yakin rakyat, terutamanya orang Melayu, cukup bijak untuk
menilai mana yang hak dan mana yang batil,” katanya menerusi kenyataan,
hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyanggah dakwaan yang beliau telah
menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara setelah
menandatangani Deklarasi Rakyat.
Mengulas mengenai tuduhan tersebut, Muhyiddin berkata, tuduhan itu merupakan satu kenyataan yang tidak berasas.
Ujarnya lagi, sentimen kaum dan agama itu hanya dibangkitkan untuk menutup kelemahan Umno.
“Selama 40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetik pun saya
bertindak menggadai prinsip perjuangan saya. Tidak masuk akal tindakan
saya menggesa Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak)
meletakkan jawatan kerana kemungkaran yang terpalit kepadanya, maka saya
dikatakan menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Jika pemimpin Umno dan BN masih terperangkap dalam sindrom penafian
dan terus menerus mempertahankan seorang individu yang tidak dapat
dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka
rakyat akan menolak Umno dan BN secara total,” tegasnya.


1 orang berkata:
Itulah politik Malaysia.
Jika pakai jubah & ketayap putih, dicop PAS
Jika bersongkok tinggi hitam, dicop UMNO
Jika pakai pakaian warna oren, dicop AMANAH
Jika pakai pakaian cina, dicop DAP
Di Malaysia dari pemimpin atasan hingga ke bawah, dlm hal politik hampir semua berjiwa kacau, dangkal dan tidak beretika. Mereka hanya tau mengumpul harta dan menagih kuasa.
Post a Comment