Serpihan pesawat tiba untuk dianalisa
Liow Tiong Lai. - Foto Bernama
BENTONG - Serpihan pesawat yang ditemui di tebing pasir Mozambique
awal bulan ini, dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines (MAS)
Penerbangan MH370, selamat sampai ke tanah air hari ini untuk dianalisa
sebelum dihantar ke Australia untuk pengesahan lanjut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serpihan
berkenaan tiba pagi tadi bersama pasukan penyiasat terdiri daripada
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS serta pasukan penyiasat khas
MH370.
"Serpihan yang dijumpai di Mozambique itu telah pun tiba pagi tadi dan
pasukan penyiasat kita akan menjalankan ujian serta analisa terlebih
dahulu sebelum ia dihantar ke Australia untuk mengesahkan sama ada
serpihan itu benar milik MH370 atau tidak.
"Tentang bila keputusannya akan diperoleh, itu saya tidak boleh
pastikan dan kita serahkan kepada pakar...tetapi kita berharap (dapat
keputusan) secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Hari Anugerah Kecemerlangan
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di sini hari ini.
Awal bulan ini satu serpihan berwarna putih sepanjang satu meter,
dipercayai penstabil mendatar pesawat Boeing 777, dilaporkan ditemui di
pesisiran pantai antara Mozambique dan Madagascar awal minggu ini, oleh
seorang lelaki Amerika.
Beberapa hari selepas itu, satu lagi objek berukuran 40X20 sentimeter
dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya, ditemui di Pulau
Reunion, dekat Lautan Hindi oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai
pembersih pantai.
Beliau merupakan lelaki yang sama menemui serpihan 'flaperon' yang
telah disahkan sebagai milik pesawat MH370 pada 29 Julai tahun lepas, di
pulau yang sama.
Mengulas tentang penemuan serpihan terbaharu di Pulau Reunion itu,
Tiong Lai berkata masih terlalu awal untuk mengandaikan ia milik pesawat
malang itu.
"Kita telah menghantar sekumpulan pakar dari Malaysia ke pulau
berkenaan untuk meneliti sama ada ia milik pesawat MH370 atau kapal
lain. Kalau ia serpihan kapal, tiada asas untuk kita membawa balik,"
katanya.
Sementara itu, Tiong Lai turut melahirkan komitmen kerajaan untuk
terus menjalankan misi pencarian pesawat MH370 sekaligus merungkai
misteri kehilangannya.
"Kita tahu bukan sahaja anggota keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia
ingin mengetahui apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat MH370.
"Yang penting kini kita perlu dapatkan kotak hitam dan apa juga bukti
yang ada untuk mencari punca sebenar kemalangan ini berlaku," katanya. -
Bernama


1 orang berkata:
jika anda butu angka ritual 4D 5D 6D silakan hub AKI ALHI DI NOMOR [[[ 0823 1366 9888 ]]] ATAU http://togel-akurat-88.blogspot.co.id/2015/12/prediksi-totokl-semarang-i-keputusan.html
Post a Comment