Pas akan bentuk blok baharu pembangkang
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
KUALA LUMPUR - Pas hari ini mengumumkan parti itu akan membentuk blok
baharu pembangkang pada 16 Mac, menjadikan kumpulan itu blok pakatan
pembangkang yang ketiga di negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan
menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya
untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau tidak menamakan
parti itu.
"Kami adalah blok ketiga. Dalam Perlembagaan (Pas) kami boleh
bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang sama
dengan kami. Perjuangan dan tuntutan yang sama," katanya kepada
pemberita di lobi Parlimen.
Takiyuddin berkata, Pas masih bekerjasama dengan PKR dalam Pakatan
Rakyat yang sebelum ini dianggotai tiga parti tetapi buat masa kini
menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP,
PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Politik bukan satu hala sahaja ... ia berbentuk gabungan, satu
muafakat dengan parti politik, tetapi yang pasti bukan Pakatan Harapan,"
katanya.
Pakatan Harapan dibentuk oleh DAP, PKR dan Amanah selepas DAP enggan
bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR.
Amanah ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Pas selepas mereka kalah
dalam pemilihan parti.
Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Baharu, berkata blok baharu
itu akan membawa budaya politik matang dan sejahtera. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment