Deklarasi Rakyat mahu Najib undur, bukan tukar kerajaan
Muhyiddin. - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR – Matlamat utama Deklarasi Rakyat adalah untuk mendesak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya dan
bukan bertujuan menjatuhkan atau menukar kerajaan sedia ada.
Ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri
Muhyiddin Yassin ketika dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian,
di pejabat beliau, semalam.
Namun, langkah-langkah pembaharuan institusi atau reformasi dari segi pentadbiran akan dibincangkan selepas Najib berundur.
“Kita ketepikan perkara (perubahan institusi dan reformasi) itu buat
seketika. Kita selesaikan perkara (pengunduran Najib) ini dahulu.
Kemudian bolehlah berbincang memperbaiki masa depan negara. Itu tujuan
kita semua,” katanya.
Menurut Muhyiddin, pada peringkat pertama, melalui Sekretariat
Selamatkan Malaysia, mereka akan bergerak memberi penerangan kepada
rakyat apakah maksud Deklarasi Rakyat itu.
“(Bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan jadual dan
saya sendiri akan terlibat dalam banyak program untuk memberi penjelasan
dan penerangan, terutama kepada ahli parti dan masyarakat agar memahami
apakah tujuannya.
“Kita mahu menggalakkan lebih ramai bersetuju dengan perjuangan kita
dan menandatangani Deklarasi Rakyat. Saya harap rakyat bersedia membuka
ruang supaya inisiatif ini dapat disebar luaskan. Perlu diingat, kita
bergerak atas landasan undang-undang,” katanya.
Ditanya adakah Himpunan Anti Najib 27 Mac ini sebagai antara langkah
awal Deklarasi Rakyat, Muhyiddin berkata, himpunan itu diatur lebih awal
oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
“Kebetulan himpunan itu mempunyai tujuan yang sama dengan Deklarasi
Rakyat, iaitu menyelamatkan negara dan tidak bercanggah dengan tujuan
Deklarasi Rakyat,” katanya.
Tegas Muhyiddin, Deklarasi Rakyat dibuat demi menyelamatkan Umno dan
negara. Ia adalah suatu usaha murni, di mana rakyat dan pimpinan
pelbagai sudut, ideologi, fahaman politik, latar belakang dan kedudukan
mengetepikan perkara itu untuk mencapai tujuan yang sama.
“Kalau dilihat dari sudut itu, saya bukan pengkhianatnya. Saya adalah
usaha penyelamatnya supaya kita bangkitkan kesedaran ahli Umno dan BN.
“Kalau ini tidak berlaku, keadaan akan bertambah lebih teruk, yang
akhirnya disebabkan Najib tidak berhenti. Maka bebanan yang ditanggung
itu akan ditanggung bersama parti, dan akhirnya parti akan ditolak oleh
rakyat.
“Kerana itu, saya berani ke depan. Saya ada rasa tanggungjawab dan
amanah walaupun saya tahu saya akan dicerca, digantung jawatan dan
mungkin dipecat,'' katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment