Pengganti Zeti: Nama dah bagi, terpulang kerajaan
Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR - Sewaktu melangkah ke pentas bagi menyampaikan ucapan
pada Forum Global Wharton di sini, hari ini, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
mungkin dilihat sekadar menyempurnakan satu lagi tugasan harian digalas
wanita berwajah tenang ini.
Namun, bagi mereka yang hadir di Dewan Sasana Kijang, khususnya
kalangan media, pertanyaan yang berlegar di minda adalah siapa bakal
pengganti Zeti untuk mengemudi Bank Negara Malaysia - antara jawatan
penting apalagi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi masa kini.
Zeti dilantik sebagai Gabenor Bank Negara pada tahun 2000 ketika
Malaysia serta negara-negara lain Asia sedang bergelut keluar daripada
krisis kewangan pada masa itu.
Gabenor berusia 68 tahun yang dinobatkan sebagai Gabenor Bank Pusat
Terbaik Dunia 2009 oleh majalah kewangan Global Finance, akan bersara
pada bulan depan.
"Perjalanan ini adalah satu maraton panjang di atas permukaan yang amat
curam," katanya ketika berkongsi pengalamannya bersama Bank Negara
selama 35 tahun, termasuk menerajuinya bagi tempoh 16 tahun.
Hari ini, sumbangannya dihargai apabila dinamakan sebagai penerima
anugerah 'Ben on the Bench' oleh The Wharton School, University of
Pennsylvania, yang turut menjadikan Zeti sebagai penerima pertama dunia
bagi anugerah itu.
Sudah pasti, penghargaan itu lebih bermakna kerana itulah universiti
sama yang menyaksikan Zeti menerima ijazah kedoktoran dalam bidang
monetari dan ekonomi antarabangsa pada 1978.
Dekan Pengurusan dan Syarikat Persendirian Wharton, Geoffrey Garret
turut memperakui sumbangan Zeti bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi di
peringkat serantau serta bagi sektor kewangan global dan perbankan.
Malah, beliau sempat berseloroh dengan berkata, bakal pengganti Zeti haruslah seorang individu yang 'sama cemerlang.'
Di bawah kepemimpinan Zeti di BNM, Malaysia menyaksikan perubahan
sektor perbankan dan kewangan, termasuk penggabungan kira-kira 35 bank
komersial kepada institusi yang sedia ada hari ini.
Zeti turut dikenali kerana raut wajahnya yang serius dan tetap fikiran
dalam membuat dasar - sesuatu yang amat diperlukan bagi negara yang
sedang pesat membangun seperti Malaysia.
Tidak dapat disangkal lagi, wanita berkulit cerah yang kelibatnya
sering tampil mengenakan busana baju kurung biru, akan meninggalkan Bank
Negara dan landskap kewangan negara dengan asas yang kukuh serta dasar
yang lancar.
Beliau yang juga wanita pertama negara ini dilantik memegang jawatan
utama Bank Negara, turut berperanan merancang pelan hala tuju Malaysia
serta bagaimana negara ini mampu membina daya tahannya untuk meredah
masa depan.
Pada majlis hari ini, di sebalik pelbagai usaha mendapatkan nama bakal
penggantinya, Zeti, seperti lazimnya melontarkan jawapan - terpulanglah
kepada kerajaan untuk memutuskannya sambil mengakui cadangan mengenainya
sudah dibuat.
Jawapan pantas serta konsisten, sekaligus membuktikan antara kelebihan
dirinya - Gabenor yang berpendirian, serba tegas serta tetap dari segi
tutur kata, tindakan serta pendiriannya. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment