[DIKEMASKINI] SAYA orang yang berani bersuara untuk penyatuan ummah, demikian reaksi yang diberikan Penerbit Sinar Harian,
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub apabila ada pihak memutar belit kenyataan
beliau mengenai cadangan penubuhan kerajaan campuran yang dibuatnya
sebelum ini.
Hussamuddin turut menegaskan pihaknya mengambil risiko membuat
kenyataan sedemikian atas rasa tanggungjawab sebagai seorang beragama
Islam yang tidak mahu perpecahan terus berlaku dan sebagai anak Kelantan
yang mahu negeri itu terus membangun dengan lebih cepat selepas ditimpa
bencana banjir yang besar. Beliau akan terus menyuarakan kepentingan
penyatuan ummah bagi memastikan amanah yang diberikan ALLAH S.W.T
dilaksanakan. Ikuti soal jawab beliau bersama media dalam sidang media
khas yang diadakan semalam.
Ada pihak yang mempersoalkan kenyataan Datuk, kenapa sekarang
baru hal ini mahu disuarakan, adakah bersesuaian dengan keadaan yang
berlaku ketika ini?
Kenyataan saya sebelum ini mengenai kerajaan campuran Pas dan Umno
Kelantan adalah kenyataan daripada rakyat Kelantan kepada pemimpin
Kelantan yang sudah melihat berpuluh tahun bertelagah. Kenyataan itu
dizahirkan tatkala bencana banjir yang berlaku di negeri Kelantan amat
luar biasa malah melebihi tragedi tsunami yang pernah melanda negara.
Kalau tsunami ramai yang mati, ramai yang meninggal dunia dan mereka
tidak perlu kembali ke rumah mereka. Tetapi apa yang berlaku di Kelantan
adalah mereka yang ditimpa bencana itu berdepan dengan situasi sukar
yang mana hilang tempat tinggal sehingga ada yang hilang punca
pencarian.
Kerana kerosakan itu amat teruk, saya merasakan jika kerajaan negeri
Kelantan terus bergaduh antara satu sama lain, dan hubungan antara
kerajaan persekutuan juga tidak baik, maka sukar untuk negeri itu
dipulihkan.
Saya perlu berfikir sebagai seorang korporat, kalaulah semua pemimpin
turun ke tempat banjir siapa yang mahu uruskan negeri? Oleh itu saya
merasakan sudah masanya semua pemimpin kembali ke tempat masing-masing
untuk berfikir apa yang perlu dilakukan seterusnya. Sebab pada saya,
kita ada banyak agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),
bomba dan sukarelawan yang turun membantu mangsa-mangsa banjir ini.
Kejadian yang berlaku ini terbahagi kepada beberapa peringkat, yang
mana ketika situasi banjir yang mangsa-mangsa ini perlukan bekalan
makanan dan perlindungan, tahap ini akan habis dua ke tiga hari lagi
(apabila air surut). Tetapi apabila mereka pulang, tiada rumah, harta
hilang, perniagaan musnah dan mereka perlu membina semua itu kembali
yang mana perlukan perancangan. Perancangan sahaja tanpa pelaksanaan
akan gagal. Sebab itu kenyataan saya sebelum ini cukup jelas kenapa saya
sarankan (kerajaan campuran) itu, kerana dari segi pelaksanaannya,
namun ia telah dipolitikkan. Saya juga dijadikan kambing hitam untuk
alihkan perhatian.
Ada pemimpin yang mendakwa kenyataan Datuk hanya mahu melariskan akhbar, komen Datuk?
Isu yang saya cuba sampaikan adalah, kerjasama secara total, tidak
dinafikan sekarang ada kerjasama (antara negeri dan pusat) untuk uruskan
bantuan banjir. Namun untuk membina negeri itu, khususnya di kawasan
terjejas terus itu bagi tempoh setahun dua tahun akan datang memerlukan
perancangan dan dana yang besar. Dalam situasi sekarang, ada yang nak
hantar bantuan (banjir) pun bergaduh nak letak gambar siapa nak letak
logo siapa, bayangkan apabila nak buat projek nak bina rumah yang
musnah?
Jadi saya sudah fikirkan perkara itu dan meminta pemimpin ketepikan isu
politik kerana ini adalah masalah bencana dan kehidupan manusia
terjejas. Apa yang sarankan itu adalah ikhlas, tetapi cuba dipusingkan
oleh individu yang bankrap idea dan katakan saya cuba untuk melariskan
akhbar Sinar Harian. Pada hakikatnya saya mengambil risiko ketika membuat kenyataan itu kerana pembaca Sinar Harian adalah orang yang suka politik, dalam politik ada golongan dari dua dua belah pihak yang berfikiran sempit dan taksub.
Dalam kenyataan saya sebelum ini, bukan sahaja mahu Umno sahaja berkompromi tetapi Pas juga berkompromi. Saya tahu pembaca Sinar Harian
datang daripada dua parti politik itu, bagi mereka yang berfikiran
sempit akan boikot. Jadi tuduhan bahawa saya buat kenyataan untuk
lariskan akhbar adalah salah. Risikonya orang yang taksub akan tolak Sinar Harian, bermakna akan ada kerugian di pihak saya, namun atas rasa tanggungjawab seorang Islam saya ambil risiko itu.
Agenda saya adalah untuk membantu memulihkan imej Islam agar
pemimpin-pemimpin ini berhenti bertelagah dalam hal politik. Saya
terpaksa buat kenyataan itu kerana saya rasa rakyat Kelantan akan parah
dan sengsara jika tidak fikirkan untuk jangka masa tiga tahun akan
datang. Kerosakan yang berlaku (di Kelantan) perlukan dana berbilion,
maka untuk uruskan dana yang besar itu perlukan kerjasama secara total,
kalau di peringkat dasar sahaja, pelaksanaannya di peringkat kerajaan
pula perlu ada banyak pita merah, apatah lagi apabila ada dua pihak yang
bermusuhan, sebab itu saya gesa mereka adakan genjatan politik seketika
kerana pemimpin Umno dan Pas adalah orang Islam, orang Islam diharamkan
bergaduh.
Saya bukan ustaz. Mereka (pemimpin) lagi banyak ustaz, mereka lebih
faham. Saya bukan main politik, saranan itu untuk mereka fikirkan
mengenai pasca banjir dan Kelantan perlu dibangunkan semula dengan
perancangan baik. Apa yang saya cadangan sebelum ini adalah jalan
penyelesaian yang praktikal, sedarlah rakyat Kelantan sudah bosan dengan
permainan politik, kenyataan saya bukan dibayangi mana-mana pihak.
Kelmarin Datuk Husam Musa dalam kenyataannya mengatakan
kerajaan pusat perlu kembalikan royalti minyak RM3 bilion terlebih
dahulu pada Kelantan baru bincang pada gabungan, komen Datuk?
Pada saya apabila anda letak syarat sebelum ada sebarang rundingan
bersama dibuat, usaha ini akan gagal. Seharusnya berlapang dada duduk
berbincang dahulu, bukan letak syarat. Silap-silap (Kelantan) bukan
dapat RM3 bilion, mungkin lebih dari itu. Dalam keadaan kemusnahan yang
berlaku di Kelantan pada hari ini nilainya bukan RM3 bilion, dengan
keadaan musnah, jambatan rosak malah hospital juga dimasuki air.
Pada pandangan Datuk siapa yang patut mengetuai gabungan ini, Pas atau Umno?
Memandangkan Pas majoriti di Kelantan, maka Pas perlu ketuai gabungan
ini. Sepatutnya Pas tidak melenting, apa yang saya sarankan sebelum ini
Umno lupakan (untuk rampas) Kelantan lakukan untuk rakyat ketika ini,
tetapi kerajaan Pas perlu bagi jawatan Exco yang sesuai untuk wakil Umno
di Kelantan.
Pada pandangan Datuk perlukah referendum untuk rakyat putuskan terima atau tidak cadangan itu?
Referendum rakyat itu jalan terakhir, ALLAH sudah tunjuk apa yang patut
kita buat, bagi rakyat Kelantan mereka perlukan pertolongan, ini bukan
pertolongan biasa ia besar yang Kerajaan Kelantan tidak mampu nak buat.
Kalau Kerajaan Pusat nak buat akan terbantut akibat perbalahan yang
tertanam sejak berpuluh tahun. Saya rasa rakyat yang rasional perlu
sokong untuk menyatukan dan berdamai demi rakyat Kelantan.
Datuk yakin matlamat untuk wujudkan kerajaan campuran dapat dicapai?
Saya berharap ia berjaya, kerana ini keperluan. Kalau mahu seribu daya,
kalau tak nak, jangan sampai rakyat bangkit. Saya tegaskan di sini
kerajaan campuran itu berlaku di Kelantan sahaja kerana dilihat ada
kelemahan (dari segi pembangunan). Kalaulah saya jadi (Presiden Pas) Tok
Guru (Datuk Seri) Haji (Abdul) Hadi (Awang) dan (Perdana Menteri) Datuk
Seri Najib (Tun Razak) saya akan terima kerana saya berpeluang
tinggalkan sebuah legasi yang menamatkan persengketaan yang berlarutan
sejak 40 tahun lalu. Seorang pemimpin yang bagus harus tinggalkan legasi
yang baik.
Sejauh mana Datuk akan terus maju dalam usaha mencapai matlamat ini?
Sebagai orang Islam, agama kita mengajar untuk tidak putuskan
silaturahim, dan sebagai pemimpin perlu jalankan tanggungjawab itu
dengan baik. Saya ada kekuatan media. Kalau saya tidak gunakan kekuatan
itu untuk penyatuan ummah dan Malaysia...kalaulah Malaysia kurang
politiking rakyat akan lebih makmur dan hal remeh-temeh akan selesai.
Kita jadi kalut sekarang sebab semua isu jadi politik, cuba dikaitkan
Melayu dengan agama. Ramai orang faham Islam itu agama yang adil dan
pemimpinnya harus bersih, dan jika mereka adil dan bersih akan beri
kemakmuran pada semua orang tanpa kira apa bangsa. Kalaulah idea untuk
menyatukan ummah ini akan dapat tentangan orang politik... sebagai Islam
saya terus perjuangkan.
Saya tidak mahu di mahsyar saya akan ditanya apa yang saya telah buat
untuk perpaduan ummah di atas kekayaan yang telah diberikan.
Sekurang-kurangnya saya telah berusaha. Kalaulah mereka (pemimpin)
betul-betul berjuang demi Islam mesti bertindak cara pengurusan yang
diamalkan oleh Rasulullah SAW. Usaha menyatukan sepatutnya usaha ulama
dan pemimpin tetapi kita asyik sibuk nak sesatkan orang. Maka
terpaksalah si jahil ini bersuara.
Kalau Pas dan Umno bergabung tubuhkan kerajaan, banyak isu
melibatkan Kelantan perlu dibincangkan. Tetapi jika gabungan ini hanya
mengenai banjir, mengapa Datuk tidak menyeru supaya kedua-dua mereka
menubuhkan jawatankuasa banjir?
Jawatankuasa tersebut dah ditubuhkan sebelum ini tetapi gagal; gagal
teruk. Memang Tok Pa (Pengerusi Umno Kelantan) Datuk Seri Mustapa
Mohamed dan Tok Mat (Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob) baik,
tetapi pelaksanaannya di bawah tidak menjadi. Sekarang saya tidak
bercerita tentang banjir, tetapi pembinaan semula Kelantan. Banjir dah
habis, NGO dah selesai. Di pejabat Sinar Harian, kita ada
berpuluh-puluh tan makanan untuk diagihkan. Kelantan dah mundur 40 tahun
dibandingkan dengan negeri lain, sekarang dengan banjir dah 80 tahun
mundur. Jadi itu sebab saya katakan kita perlu wang yang banyak dan idea
bernas yang boleh dilaksanakan dengan baik. Masalah kerajaan ialah
pelaksanaan yang sangkut dengan birokrasi. Bila duadua tidak serasi, itu
dah birokrasi.
Macam sekarang, orang nak dengar Tok Pa atau Tok Mat, baru nak beri
beras. Ini kita nak buat jambatan, rumah, jalan baru dan nak bantu
rakyat. Ada fasa selepas banjir. Sebab itu perlu satu perancangan yang
besar. Sebab itu saya suruh pemimpin jangan ‘post’ gambar cantik. Pergi
pejabat ‘brain storm’ (bincang) dengan pegawai kerajaan bagaimana nak
bangunkan semula Kelantan, tapi sekarang tak boleh buat. Jika ada dana
aliran bebas macam negeri-negeri lain duit masuk tak kira atas nama apa
pun. Jadi itu isunya, bukan banjir. Saya cakap sekarang supaya boleh
dilaksanakan tahun depan. Pemimpin kena fikir jauh.
Tetapi pembinaan semula dilakukan selepas banjir, jadi ia masih ada kena-mengena dengan banjir?
Kelantan mundur 40 tahun dari negeri lain. Dengan banjir, terhakis lagi
30, 40 tahun. Makanya pembinaan semula selepas banjir. Jika bantuan
semasa banjir, biar JPAM dan NGO buat. Sekarang Tok Mat dan Tok Pa harus
fikir apa yang perlu dilakukan 10 tahun lagi. Tapi sekarang selagi dua
kerajaan saling tak percaya, apa buat pun tak jadi. Ini realiti politik.
Jawatankuasa yang ada sekarang pun pelaksanaannya tidak
diikuti. Jika tubuhkan kerajaan campuran, kita khuatir pelaksanaannya
sama saja seperti dulu. Komen Datuk?
Sekurang-kurangnya ia lebih baik. Tiada sabotaj, hanya pita merah yang
jadi penghalang. Sekarang elemen sabotaj banyak sangat, sekat sana,
sekat sini. Sebab itu saya mahu tekankan ini untuk rakyat. Dah 40 tahun,
95 peratus masa ahli politik ini hanya dihabiskan untuk berpolitik,
untuk jaga kawasan sendiri dan serang orang lain. Tetapi sekarang biar
mereka fikir 95 peratus dari masa mereka untuk pembangunan, politik lima
peratus. Cukup-cukuplah berpolitik. Idea saya radikal tapi mesti ada
iltizam untuk laksanakan demi rakyat yang kini sengsara. Kalau masih
macam sekarang, saya bimbang rakyat bangkit.
Tetapi ramai rakyat Kelantan lain tidak kongsi sentimen sama dengan Datuk?
Mungkin ramai yang tidak berani bersuara selama ini. Sekarang saya dah
mulakan dan ramai lagi akan ikut. Ramai tokoh yang sudi ke depan. Kalau
ahli politik tak buat, saya rasa orang-orang ini akan keluar, rakyat
akan keluar. Sebelum nampak rakyat paksa, ahli politik patut ada
inisiatif.
Sebagai ahli korporat, bagaimana Datuk melihat peluang untuk
berniaga di Kelantan selepas banjir? Atau adakah mereka juga perlu
bermula dari kosong?
Saya dapat laporan banyak ah long sudah mula ke sana menawarkan
bantuan. Kelantan terkenal dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),
jadi mereka pun terjejas dan perlu dibantu. Kalau banyak projek, dengan
sendirinya ekonomi Kelantan akan aktif dan PKS boleh hidup balik. Jika
Kerajaan Kelantan sudah jadi sebahagian daripada mainstream (arus
perdana) walaupun di peringkat negeri saja, mereka boleh dapat bantuan
daripada mana-mana agensi kerajaan.
Itu sebab orang politik jangan melenting dengan kenyataan saya. Saya
henjut kedua-dua, iaitu Pas dan Umno. Sebenarnya kalau diteliti sendiri
Umno yang rugi kerana mereka akan hilang peluang untuk rebut Kelantan.
Tapi maknanya kalau dia (Umno) sanggup berkorban, orang akan tengok
keikhlasan Umno dan orang juga akan tengok keikhlasan Pas. Pemimpin ini
kena ikhlas. Cukup-cukuplah berpolitik.
Apa pandangan Datuk jika Umno Kelantan tolak?
Sebenarnya saya tidak ada kuasa, cuma saya suarakan. Majoriti senyap
kerana orang Melayu ini berbisik sahaja, tapi saya tidak. Kalau Umno
Kelantan tolak, saya kena kempen lagi kepada mereka supaya faham.
Apa yang kita kena faham ini adalah agenda perpaduan ummah, kalaulah
masih mahu berpolitik. Contoh, kalau Umno Kelantan tolak kerana politik
bermakna mereka bukan mahu berparti untuk perpaduan ummah. Bagi saya,
saya takut Umno sendiri pula ditolak kerana saya rasa ramai orang nak
penggabungan ini. Apabila saya bercakap (perkara) ini, saya yakin ramai
juga yang bercakap.
Jadi kalau saya jadi pemimpin Umno atau Pas, suara itu belum jadi
lantang, saya boleh claim (tuntut) itu pandangan saya. Sebab orang
politik mahu jadi hero. Jawapan saya bukan jawapan politik, (saya) harap
anda semua faham. Saya tidak boleh jawab ya atau tidak. Saya tidak mahu
tubuh parti baru. Saya akan terus jadi pedagang. Saya akan jadi pemilik
akhbar yang adil. Siapa yang betul saya akan setuju, kalau tidak betul
saya akan tentang. Itu tanggungjawab saya. Sebagai orang Islam, saya
kena adil. Kalau saya perlu bersendirian untuk perpaduan ini saya
sanggup.
Ini adalah keprihatinan saya, kerana sekali lagi saya jelaskan bahawa
saya dilahirkan sebagai Islam. Jadi saya rasa ini adalah tanggungjawab
saya. Sekarang saya jalankan tanggungjawab saya, tanpa ada pengaruh
mana-mana. ALLAH berikan saya kekuatan dan saya wujudkan Sinar Harian
yang ramai pengikut. Saya akan cuba berikhtiar untuk menyatukan ummah.
Saya akan nyanyikan lagu penyatuan ini semakin kuat, nyaring dan saya
berharap orang yang sepatutnya menyatukan ummah ini insaf dan berusaha
untuk menyatukan ummah kerana ummah yang bersatu bukan agenda Melayu,
tapi agenda ummah. Dalam Islam ada orang Melayu, Cina, India (dan
lain-lain).
Dalam Islam kalau kita jadi pemimpin, kita perlu jadi pemimpin yang
adil, tidak kira apa pun. Jadi saya harap dengan bersatu ummah dan
berharap Malaysia ini dipimpin orang Islam yang betul-betul faham Islam
dan mempunyai kebolehan yang mengurus dengan baik dan adil dan boleh
beri kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Saya kira Islam boleh dipulihkan imejnya dan Malaysia akan mempunyai
imej yang baik kerana diuruskan oleh orang Islam, tapi ini belum
berlaku. Inilah apa yang saya cuba buatkan sebagai sumbangan kecil, dari
insan kerdil. Saya tidak dipengaruhi sesiapa pun, ini adalah masa
terbaik untuk desak perpaduan ummah. Saya harap orang bukan Islam faham
perpaduan ummah bukan bermakna mereka dibiarkan.
Kalau tengok sejarah Islam, kerajaan Islam akan lindungi tidak kira
siapa pun. Islam ini agama adil dan bukan agama perbalahan. Sejarah
Islam, walaupun musuh dimaafkan. Jadi misi saya untuk pulihkan imej
Islam. ALLAH cipta manusia berbagaibagai, mungkin ALLAH ciptakan saya
untuk berani bercakap. Saya berharap orang di luar sana bangkit satukan
semua orang bersatu. Kalau seluruh rakyat bangun bersatu, jadi pemimpin
juga akan bangun bersama.