• Dr Zulkarnain Awang Dr Zulkarnain Awang
1 / 1
SHAH ALAM – Usaha Kelantan untuk membangunkan semula negeri itu supaya menjadi lebih baik daripada sekarang adalah agak mustahil sekiranya kedua-dua parti Pas dan Umno negeri tidak bergabung.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkarnain Awang berkata, melihat kepada situasi lepas, walaupun ada usaha untuk membaik pulih tetapi tiada pertolongan.

“Masing-masing dengan ideologi masing-masing,
apa yang patut cepat jadi lambat, peruntukan pun begitu. Saya harap ada kesatuan yang kukuh untuk masa depan rakyat, saya percaya rakyat patut dapat lebih dan jangan disebabkan fahaman masing-masing akan membantutkan perkara ini.

“Saya nampak inilah peluangnya bergabung,
bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal, tapi pembangunan dari segi rohani dan sebagainya. Ada kemungkinan sesetengah pihak tidak nampak kepentingan penggabungan ini, mungkin mereka ada kepentingan diri atau mungkin juga tidak faham,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zulkarnain yang pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan berkata, jika penggabungan itu berjaya dilaksanakan suatu hari nanti, pastinya tiada lagi perbalahan dan Kelantan tidak lagi akan mundur.
“Diharapkan kedua-dua pihak mempunyai niat yang baik untuk pembangunan rakyat. Saya rasa jika usaha ini dapat dilakukan, kita akan dapat lebih maju lagi. Kita tunggu.

“Saya ini bukan orang politik, apa yang saya nak lihat adalah kerjasama yang baik dan tidak pecah belah, peluang untuk maju, kemudahan lebih baik dan persediaan yang komprehensif untuk masa depan penduduk di Kelantan.

“Saya harap pemimpin politik yang saya percaya semuanya bijak-bijak belaka dapat berbincang supaya rakyat Kelantan dapat faedah,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerosakan di beberapa sekolah akibat ditenggelami banjir, beliau berkata kedua-dua pihak kerajaan negeri dan Pusat sepatutnya sama-sama memulihkan sekolah secepat mungkin.

“Di Kelantan beberapa sekolah agama didaftarkan di bawah kementerian, tetapi ada juga sekolah agama milik kerajaan negeri. Kalau yang milik negeri mereka akan baiki, tapi kalau kerajaan Pusat nak bantu pun boleh, mungkin dengan kerjasama yang kukuh boleh dilakukan.

“Jika bergabung, sepatutnya memang mudah untuk mendapatkan dana, lebih mudah untuk diselaraskan kalau tidak ia akan jadi perundingan dan pelaksanaan yang panjang. Ia akan jadi masalah seperti peruntukan ada, tapi tidak tahu siapa yang nak buat,” katanya.

Katanya, bukan sahaja sekolah di bawah kementerian, bahkan sekolah pondok juga akan dibantu kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan antara institusi pendidikan terkenal di Kelantan.

“Kerajaan Persekutuan boleh bantu, kalau kita tengok ada juga sekolah pondok didaftarkan di bawah kementerian, kerajaan boleh bina semula, guru pun diberikan gaji lebih tinggi.
“Apa yang penting bagi saya adalah anak-anak murid yang dapat faedah, kesian kepada anak-anak jika tiada guru terlatih.  Jika ada penggabungan ini, boleh jadi kita adakan pembangunan semula, kadang kala orang salah faham perkara ini, ia bukan untuk diambil alih, tapi untuk kebaikan semua,” ujarnya.