• Mohamad Shukri Mohamad Shukri
1 / 1
KOTA BHARU - Bencana alam seperti banjir besar yang berlaku di Kelantan sepatutnya dijadikan iktibar terutama kepada golongan bijak pandai dan rasionalis dengan ideologi bersih, dan berdoa semoga ALLAH SWT merahmati apa yang telah berlaku.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, dalam situasi yang berlaku ketika ini,  masyarakat seharusnya menjadikan peristiwa peletakan Hajarul Aswad sebagai contoh yang paling tepat terutama untuk membangunkan semula kemusnahan dialami.

“Moral daripada cerita tersebut, kita dapat lihat Nabi Muhammad SAW adalah seorang pemimpin berjiwa besar, perlu dijadikan contoh terbaik, malah bersempena Maulidur Rasul kali ini, kita perlu teladani pemimpin seperti ini.

“Rakyat sedang menanti ada pemimpin berjiwa besar yang boleh menerajui apa sahaja masalah masyarakat, yang boleh menangani isu besar seperti tsunami dan jadikan sejarah bencana di Indonesia itu sebagai contoh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, walaupun hampir keseluruhan Kelantan terlibat banjir, namun rakyat harus sedar manusia diuji untuk mendapat yang lebih baik selepas ini.

"Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran kepada seluruh masyarakat, bukan sahaja yang terlibat dengan bencana ini kerana ia adalah satu cara untuk manusia menginsafkan diri dan kembali kepada Allah SWT.

“Sekarang ini kita perlu bincangkan bagaimana untuk bangunkan semula apa yang telah musnah, insya-ALLAH, kesabaran kita ini dibalas baik, selain pemimpin juga perlu fikirkan apakah langkah terbaik agar umat Islam dan masyarakat secara keseluruhannya tidak akan berpecah dan berlaku keretakan hubungan sesama manusia,” katanya.