• Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengadakan sidang media hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengadakan sidang media hari ini - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
[DIKEMASKINI] SAYA orang yang berani bersuara untuk penyatuan ummah, demikian reaksi yang diberikan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub apabila ada pihak memutar belit kenyataan beliau mengenai cadangan penubuhan kerajaan campuran yang dibuatnya sebelum ini.

Hussamuddin turut menegaskan pihaknya mengambil risiko membuat kenyataan sedemikian atas rasa tanggungjawab sebagai seorang beragama Islam yang tidak mahu perpecahan terus berlaku dan sebagai anak Kelantan yang mahu negeri itu terus membangun dengan lebih cepat selepas ditimpa bencana banjir yang besar. Beliau akan terus menyuarakan kepentingan penyatuan ummah bagi memastikan amanah yang diberikan ALLAH S.W.T dilaksanakan. Ikuti soal jawab beliau bersama media dalam sidang media khas yang diadakan semalam.


Ada pihak yang mempersoalkan kenyataan Datuk, kenapa sekarang baru hal ini mahu disuarakan, adakah bersesuaian dengan keadaan yang berlaku ketika ini?

Kenyataan saya sebelum ini mengenai kerajaan campuran Pas dan Umno Kelantan adalah kenyataan daripada rakyat Kelantan kepada pemimpin Kelantan yang sudah melihat berpuluh tahun bertelagah. Kenyataan itu dizahirkan tatkala bencana banjir yang berlaku di negeri Kelantan amat luar biasa malah melebihi tragedi tsunami yang pernah melanda negara. Kalau tsunami ramai yang mati, ramai yang meninggal dunia dan mereka tidak perlu kembali ke rumah mereka. Tetapi apa yang berlaku di Kelantan adalah mereka yang ditimpa bencana itu berdepan dengan situasi sukar yang mana hilang tempat tinggal sehingga ada yang hilang punca pencarian.

Kerana kerosakan itu amat teruk, saya merasakan jika kerajaan negeri Kelantan terus bergaduh antara satu sama lain, dan hubungan antara kerajaan persekutuan juga tidak baik, maka sukar untuk negeri itu dipulihkan.

Saya perlu berfikir sebagai seorang korporat, kalaulah semua pemimpin turun ke tempat banjir siapa yang mahu uruskan negeri? Oleh itu saya merasakan sudah masanya semua pemimpin kembali ke tempat masing-masing untuk berfikir apa yang perlu dilakukan seterusnya. Sebab pada saya, kita ada banyak agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), bomba dan sukarelawan yang turun membantu mangsa-mangsa banjir ini.

Kejadian yang berlaku ini terbahagi kepada beberapa peringkat, yang mana ketika situasi banjir yang mangsa-mangsa ini perlukan bekalan makanan dan perlindungan, tahap ini akan habis dua ke tiga hari lagi (apabila air surut). Tetapi apabila mereka pulang, tiada rumah, harta hilang, perniagaan musnah dan mereka perlu membina semua itu kembali yang mana perlukan perancangan. Perancangan sahaja tanpa pelaksanaan akan gagal. Sebab itu kenyataan saya sebelum ini cukup jelas kenapa saya sarankan (kerajaan campuran) itu, kerana dari segi pelaksanaannya, namun ia telah dipolitikkan. Saya juga dijadikan kambing hitam untuk alihkan perhatian.


Ada pemimpin yang mendakwa kenyataan Datuk hanya mahu melariskan akhbar, komen Datuk?

Isu yang saya cuba sampaikan adalah, kerjasama secara total, tidak dinafikan sekarang ada kerjasama (antara negeri dan pusat) untuk uruskan bantuan banjir. Namun untuk membina negeri itu, khususnya di kawasan terjejas terus itu bagi tempoh setahun dua tahun akan datang memerlukan perancangan dan dana yang besar. Dalam situasi sekarang, ada yang nak hantar bantuan (banjir) pun bergaduh nak letak gambar siapa nak letak logo siapa, bayangkan apabila nak buat projek nak bina rumah yang musnah?

Jadi saya sudah fikirkan perkara itu dan meminta pemimpin ketepikan isu politik kerana ini adalah masalah bencana dan kehidupan manusia terjejas. Apa yang sarankan itu adalah ikhlas, tetapi cuba dipusingkan oleh individu yang bankrap idea dan katakan saya cuba untuk melariskan akhbar Sinar Harian. Pada hakikatnya saya mengambil risiko ketika membuat kenyataan itu kerana pembaca Sinar Harian adalah orang yang suka politik, dalam politik ada golongan dari dua dua belah pihak yang berfikiran sempit dan taksub.

Dalam kenyataan saya sebelum ini, bukan sahaja mahu Umno sahaja berkompromi tetapi Pas juga berkompromi. Saya tahu pembaca Sinar Harian datang daripada dua parti politik itu, bagi mereka yang berfikiran sempit akan boikot. Jadi tuduhan bahawa saya buat kenyataan untuk lariskan akhbar adalah salah. Risikonya orang yang taksub akan tolak Sinar Harian, bermakna akan ada kerugian di pihak saya, namun atas rasa tanggungjawab seorang  Islam saya ambil risiko itu.

Agenda saya adalah untuk membantu memulihkan imej Islam agar pemimpin-pemimpin ini berhenti bertelagah dalam hal politik. Saya terpaksa buat kenyataan itu kerana saya rasa rakyat Kelantan akan parah dan sengsara jika tidak fikirkan untuk jangka masa tiga tahun akan datang. Kerosakan yang berlaku (di Kelantan) perlukan dana berbilion, maka untuk uruskan dana yang besar itu perlukan kerjasama secara total, kalau di peringkat dasar sahaja, pelaksanaannya di peringkat kerajaan pula perlu ada banyak pita merah, apatah lagi apabila ada dua pihak yang bermusuhan, sebab itu saya gesa mereka adakan genjatan politik seketika kerana pemimpin Umno dan Pas adalah orang Islam, orang Islam diharamkan bergaduh.

Saya bukan ustaz. Mereka (pemimpin) lagi banyak ustaz, mereka lebih faham. Saya bukan main politik, saranan itu untuk mereka fikirkan mengenai pasca banjir dan Kelantan perlu dibangunkan semula dengan perancangan baik. Apa yang saya cadangan sebelum ini adalah jalan penyelesaian yang praktikal, sedarlah rakyat Kelantan sudah bosan dengan permainan politik, kenyataan saya bukan dibayangi mana-mana pihak.


Kelmarin Datuk Husam Musa dalam kenyataannya mengatakan kerajaan pusat perlu kembalikan royalti minyak RM3 bilion terlebih dahulu pada Kelantan baru bincang pada gabungan, komen Datuk?

Pada saya apabila anda letak syarat sebelum ada sebarang rundingan bersama dibuat, usaha ini akan gagal. Seharusnya berlapang dada duduk berbincang dahulu, bukan letak syarat. Silap-silap (Kelantan) bukan dapat RM3 bilion, mungkin lebih dari itu. Dalam keadaan kemusnahan yang berlaku di Kelantan pada hari ini nilainya bukan RM3 bilion, dengan keadaan musnah, jambatan rosak malah hospital juga dimasuki air.


Pada pandangan Datuk siapa yang patut mengetuai gabungan ini, Pas atau Umno?

Memandangkan Pas majoriti di Kelantan, maka Pas perlu ketuai gabungan ini. Sepatutnya Pas tidak melenting, apa yang saya sarankan sebelum ini Umno lupakan (untuk rampas) Kelantan lakukan untuk rakyat ketika ini, tetapi kerajaan Pas perlu bagi jawatan Exco yang sesuai untuk wakil Umno di Kelantan.


Pada pandangan Datuk perlukah referendum untuk rakyat putuskan terima atau tidak cadangan itu?

Referendum rakyat itu jalan terakhir, ALLAH sudah tunjuk apa yang patut kita buat, bagi rakyat Kelantan mereka perlukan pertolongan, ini bukan pertolongan biasa ia besar yang Kerajaan Kelantan tidak mampu nak buat. Kalau Kerajaan Pusat nak buat akan terbantut akibat perbalahan yang tertanam sejak berpuluh tahun. Saya rasa rakyat yang rasional perlu sokong untuk menyatukan dan berdamai demi rakyat Kelantan.


Datuk yakin matlamat untuk wujudkan kerajaan campuran dapat dicapai?

Saya berharap ia berjaya, kerana ini keperluan. Kalau mahu seribu daya, kalau tak nak, jangan sampai rakyat bangkit. Saya tegaskan di sini kerajaan campuran itu berlaku di Kelantan sahaja kerana dilihat ada kelemahan (dari segi pembangunan). Kalaulah saya jadi (Presiden Pas) Tok Guru (Datuk Seri) Haji (Abdul) Hadi (Awang) dan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) saya akan terima kerana saya berpeluang tinggalkan sebuah legasi yang menamatkan persengketaan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu. Seorang pemimpin yang bagus harus tinggalkan legasi yang baik.


Sejauh mana Datuk akan terus maju dalam usaha mencapai matlamat ini?

Sebagai orang Islam, agama kita mengajar untuk tidak putuskan silaturahim, dan sebagai pemimpin perlu jalankan tanggungjawab itu dengan baik. Saya ada kekuatan media. Kalau saya tidak gunakan kekuatan itu untuk penyatuan ummah dan Malaysia...kalaulah Malaysia kurang politiking rakyat akan lebih makmur dan hal remeh-temeh akan selesai. Kita jadi kalut sekarang sebab semua isu jadi politik, cuba dikaitkan Melayu dengan agama. Ramai orang faham Islam itu agama yang adil dan pemimpinnya harus bersih, dan jika mereka adil dan bersih akan beri kemakmuran pada semua orang tanpa kira apa bangsa. Kalaulah idea untuk menyatukan ummah ini akan dapat tentangan orang politik... sebagai Islam saya terus perjuangkan.

Saya tidak mahu di mahsyar saya akan ditanya apa yang saya telah buat untuk perpaduan ummah di atas kekayaan yang telah diberikan. Sekurang-kurangnya saya telah berusaha. Kalaulah mereka (pemimpin) betul-betul berjuang demi Islam mesti bertindak cara pengurusan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Usaha menyatukan sepatutnya usaha ulama dan pemimpin tetapi kita asyik sibuk nak sesatkan orang. Maka terpaksalah si jahil ini bersuara.


Kalau Pas dan Umno bergabung tubuhkan kerajaan, banyak isu melibatkan Kelantan perlu dibincangkan. Tetapi jika gabungan ini hanya mengenai banjir, mengapa Datuk tidak menyeru supaya kedua-dua mereka menubuhkan jawatankuasa banjir?

Jawatankuasa tersebut dah ditubuhkan sebelum ini tetapi gagal; gagal teruk. Memang Tok Pa (Pengerusi Umno Kelantan) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tok Mat (Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob) baik, tetapi pelaksanaannya di bawah tidak menjadi. Sekarang saya tidak bercerita tentang banjir, tetapi pembinaan semula Kelantan. Banjir dah habis, NGO dah selesai. Di pejabat Sinar Harian, kita ada berpuluh-puluh tan makanan untuk diagihkan. Kelantan dah mundur 40 tahun dibandingkan dengan negeri lain, sekarang dengan banjir dah 80 tahun mundur. Jadi itu sebab saya katakan kita perlu wang yang banyak dan idea bernas yang boleh dilaksanakan dengan baik. Masalah kerajaan ialah pelaksanaan yang sangkut dengan birokrasi. Bila duadua tidak serasi, itu dah birokrasi.

Macam sekarang, orang nak dengar Tok Pa atau Tok Mat, baru nak beri beras. Ini kita nak buat jambatan, rumah, jalan baru dan nak bantu rakyat. Ada fasa selepas banjir. Sebab itu perlu satu perancangan yang besar. Sebab itu saya suruh pemimpin jangan ‘post’ gambar cantik. Pergi pejabat ‘brain storm’ (bincang) dengan pegawai kerajaan bagaimana nak bangunkan semula Kelantan, tapi sekarang tak boleh buat. Jika ada dana aliran bebas macam negeri-negeri lain duit masuk tak kira atas nama apa pun. Jadi itu isunya, bukan banjir. Saya cakap sekarang supaya boleh dilaksanakan tahun depan. Pemimpin kena fikir jauh.


Tetapi pembinaan semula dilakukan selepas banjir, jadi ia masih ada kena-mengena dengan banjir?

Kelantan mundur 40 tahun dari negeri lain. Dengan banjir, terhakis lagi 30, 40 tahun. Makanya pembinaan semula selepas banjir. Jika bantuan semasa banjir, biar JPAM dan NGO buat. Sekarang Tok Mat dan Tok Pa harus fikir apa yang perlu dilakukan 10 tahun lagi. Tapi sekarang selagi dua
kerajaan saling tak percaya, apa buat pun tak jadi. Ini realiti politik.


Jawatankuasa yang ada sekarang pun pelaksanaannya tidak diikuti. Jika tubuhkan kerajaan campuran, kita khuatir pelaksanaannya sama saja seperti dulu. Komen Datuk?

Sekurang-kurangnya ia lebih baik. Tiada sabotaj, hanya pita merah yang jadi penghalang. Sekarang elemen sabotaj banyak sangat, sekat sana, sekat sini. Sebab itu saya mahu tekankan ini untuk rakyat. Dah 40 tahun, 95 peratus masa ahli politik ini hanya dihabiskan untuk berpolitik, untuk jaga kawasan sendiri dan serang orang lain. Tetapi sekarang biar mereka fikir 95 peratus dari masa mereka untuk pembangunan, politik lima peratus. Cukup-cukuplah berpolitik. Idea saya radikal tapi mesti ada iltizam untuk laksanakan demi rakyat yang kini sengsara. Kalau masih macam sekarang, saya bimbang rakyat bangkit.

Tetapi ramai rakyat Kelantan lain tidak kongsi sentimen sama dengan Datuk?
Mungkin ramai yang tidak berani bersuara selama ini. Sekarang saya dah mulakan dan ramai lagi akan ikut. Ramai tokoh yang sudi ke depan. Kalau ahli politik tak buat, saya rasa orang-orang ini akan keluar, rakyat akan keluar. Sebelum nampak rakyat paksa, ahli politik patut ada inisiatif.

Sebagai ahli korporat, bagaimana Datuk melihat peluang untuk berniaga di Kelantan selepas banjir? Atau adakah mereka juga perlu bermula dari kosong?
Saya dapat laporan banyak ah long sudah mula ke sana menawarkan bantuan. Kelantan terkenal dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jadi mereka pun terjejas dan perlu dibantu. Kalau banyak projek, dengan sendirinya ekonomi Kelantan akan aktif dan PKS boleh hidup balik. Jika Kerajaan Kelantan sudah jadi sebahagian daripada mainstream (arus perdana) walaupun di peringkat negeri saja, mereka boleh dapat bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan.

Itu sebab orang politik jangan melenting dengan kenyataan saya. Saya henjut kedua-dua, iaitu Pas dan Umno. Sebenarnya kalau diteliti sendiri Umno yang rugi kerana mereka akan hilang peluang untuk rebut Kelantan. Tapi maknanya kalau dia (Umno) sanggup berkorban, orang akan tengok keikhlasan Umno dan orang juga akan tengok keikhlasan Pas. Pemimpin ini kena ikhlas. Cukup-cukuplah berpolitik.


Apa pandangan Datuk jika Umno Kelantan tolak?
Sebenarnya saya tidak ada kuasa, cuma saya suarakan. Majoriti senyap kerana orang Melayu ini berbisik sahaja, tapi saya tidak. Kalau Umno Kelantan tolak, saya kena kempen lagi kepada mereka supaya faham.

Apa yang kita kena faham ini adalah agenda perpaduan ummah, kalaulah masih mahu berpolitik. Contoh, kalau Umno Kelantan tolak kerana politik bermakna mereka bukan mahu berparti untuk perpaduan ummah. Bagi saya, saya takut Umno sendiri pula ditolak kerana saya rasa ramai orang nak penggabungan ini. Apabila saya bercakap (perkara) ini, saya yakin ramai juga yang bercakap.

Jadi kalau saya jadi pemimpin Umno atau Pas, suara itu belum jadi lantang, saya boleh claim (tuntut) itu pandangan saya. Sebab orang politik mahu jadi hero. Jawapan saya bukan jawapan politik, (saya) harap anda semua faham. Saya tidak boleh jawab ya atau tidak. Saya tidak mahu tubuh parti baru. Saya akan terus jadi pedagang. Saya akan jadi pemilik akhbar yang adil. Siapa yang betul saya akan setuju, kalau tidak betul saya akan tentang. Itu tanggungjawab saya. Sebagai orang Islam, saya kena adil. Kalau saya perlu bersendirian untuk perpaduan ini saya sanggup.

Ini adalah keprihatinan saya, kerana sekali lagi saya jelaskan bahawa saya dilahirkan sebagai Islam. Jadi saya rasa ini adalah tanggungjawab saya. Sekarang saya jalankan tanggungjawab saya, tanpa ada pengaruh mana-mana. ALLAH berikan saya kekuatan dan saya wujudkan Sinar Harian yang ramai pengikut. Saya akan cuba berikhtiar untuk menyatukan ummah. Saya akan nyanyikan lagu penyatuan ini semakin kuat, nyaring dan saya berharap orang yang sepatutnya menyatukan ummah ini insaf dan berusaha untuk menyatukan ummah kerana ummah yang bersatu bukan agenda Melayu, tapi agenda ummah. Dalam Islam ada orang Melayu, Cina, India (dan lain-lain).

Dalam Islam kalau kita jadi pemimpin, kita perlu jadi pemimpin yang adil, tidak kira apa pun. Jadi saya harap dengan bersatu ummah dan berharap Malaysia ini dipimpin orang Islam yang betul-betul faham Islam dan mempunyai kebolehan yang mengurus dengan baik dan adil dan boleh beri kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Saya kira Islam boleh dipulihkan imejnya dan Malaysia akan mempunyai imej yang baik kerana diuruskan oleh orang Islam, tapi ini belum berlaku. Inilah apa yang saya cuba buatkan sebagai sumbangan kecil, dari insan kerdil. Saya tidak dipengaruhi sesiapa pun, ini adalah masa terbaik untuk desak perpaduan ummah. Saya harap orang bukan Islam faham perpaduan ummah bukan bermakna mereka dibiarkan.

Kalau tengok sejarah Islam, kerajaan Islam akan lindungi tidak kira siapa pun. Islam ini agama adil dan bukan agama perbalahan. Sejarah Islam, walaupun musuh dimaafkan. Jadi misi saya untuk pulihkan imej Islam. ALLAH cipta manusia berbagaibagai, mungkin ALLAH ciptakan saya untuk berani bercakap. Saya berharap orang di luar sana bangkit satukan semua orang bersatu. Kalau seluruh rakyat bangun bersatu, jadi pemimpin juga akan bangun bersama.