• Mohd Isa Abdul Samad Mohd Isa Abdul Samad
1 / 2
SEREMBAN - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memohon maaf kepada umat Islam susulan kesilapan terjemahan pada al-Quran yang diedarkan Yayasan Felda Julai tahun lalu.

Menurut Mohd Isa, kesilapan itu tidak disengajakan berlaku pada cetakan pertama dan ia sudah diperbetulkan pada cetakan kedua.

"Bukan niat saya untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini. Kita sedia maklum, terdapat kesilapan pada edisi pertama al-Quran terjemahan ini, namun kita sudah perbetul kesilapan.

“Malah pada awal muka surat naskhah itu, kita ada mengingatkan orang ramai bahawa sekiranya terdapat kesalahan mahupun kesilapan ayat al-Quran yang dicetak, harap dimaklumkan kepada kita," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan sebelum ini, sehingga isu berkenaan timbul semalam.

Mohd Isa turut meminta orang ramai supaya memulangkan semula al-Quran berkenaan dan pihaknya akan menggantikannya dengan edisi baharu.

"Orang ramai yang memiliki al-Quran cetakan pertama itu diminta memulangkan semula di pejabat Felda berhampiran atau ke Yayasan Felda Kuala Lumpur untuk diganti dengan yang baru," katanya di sini, semalam.

Mohd Isa berkata, sebanyak 9,000 naskhah al-Quran edisi pertama telah dicetak dan diedarkan secara percuma di seluruh negara secara berperingkat pada Ramadan tahun lalu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan al-Quran yang diedarkan Yayasan Felda mengandungi kesilapan apabila ayat 8 dalam Surah Yusof tidak lengkap dan tergantung.

Kesilapan itu dikesan seorang Imam Surau Taman Selasih, Port Dickson yang ketika itu sedang membaca surah berkenaan menggunakan al-Quran tersebut.

Selain itu, seorang hafiz, Ustaz Hasan Alias juga mengesan terdapat kesalahan ayat dalam surah Al-An’am ayat 116 dan ayat 117 yang mana  ayat 117 diulang sebanyak dua kali.

Ahli Jawatankuasa Lembaga Penapis dan Perlesenan Pencetakan al-Quran, Datuk Mohd Yusof Ahmad meminta pemilik syarikat pengeluar dan pengedar al-Quran itu  menarik semula terbitannya sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) rampas al-Quran itu.