Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

DIMALAYSIA JUGA BANYAK MAZHAB, RAKYAT PENING KEPALA

Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan



23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 26 April: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

“Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar,” terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

“Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya,” katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

“Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu,” tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.



Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

“Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya dengan kesal.

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.