Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MCA tak patut salahkan Perkasa kerana hilang undi Cina, kata Ibrahim

April 28, 2011

KUALA LUMPUR, 28 April — Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie sebagai “buat sejarah” kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Sebaliknya tegas Ibrahim, BN hilang sokongan masyarakat Cina kerana MCA memilih pemimpin yang tidak bermoral untuk menerajui parti itu.

“Sebab utama MCA ditolak pada pilihan raya umum ke-12 adalah kerana video seks Chua Soi Lek (Presiden MCA) didedahkan kepada umum, yang mana ketika itu Perkasa belum lagi ditubuhkan.

“Jadi MCA ditolak masyarakat Cina kerana mereka malu mempunyai pemimpin yang tidak bermoral dan MCA juga ditolak kerana ramai pemimpin dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan rasuah,” katanya.

Kata beliau, kehilangan sokongan masyarakat Cina kepada BN bukan disebabkan Perkasa kerana pertubuhan membela hak Melayu itu ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

“Nampaknya Datuk Heng Seai Kie buta sejarah kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia penyebab MCA ditolak masyarakat Cina sejak 2008 dan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

“Saya nak ingatkan beliau (Heng), bukan Perkasa yang sebabkan MCA ditolak masyarakat Cina pada 2008 dan kerana Perkasa belum wujud pada pilihan raya umum ke-12, Perkasa diwujudkan lima bulan selepas pilihan raya umum ke-12 dan Perkasa juga bukan penyebab Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tewas banyak kerusi di Sarawak,” kata Presiden Perkasa itu dalam satu kenyataan.

Kata Ibrahim, kekalahan SUPP tidak ada kaitan dengan Perkasa kerana pertubuhan bukan kerajaan itu tidak mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas banyak kerusi kepada DAP.

“Perkasa tidak ambil bahagian dalam kempen pilihan raya di Sarawa, perlu ambil perhatian mengapa etnik lain di Sarawak boleh beri sokongan kepada BN di Sarawak jika tidak kerana mereka percaya kepada BN. Masyarakat Cina semuanya beri sokongan kepada BN dan BN juga tidak boleh membentuk kerajaan sekiranya etnik Bumiputera lain menolak BN.

“Mana yang lebih penting, 100 peratus sokongan Bumiputera atau 100 peratus sokongan Cina?” soalnya.

 Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan Heng bahawa Perkasa bukan membenci masyarakat Cina tetapi pemimpin Cina dari BN dan Pakatan Rakyat yang mendesak Putraraja agar menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,

“Mereka tidak menghormati Perlembagaan negara, ramai juga pemimpin Cina yang menghina Islam dengan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Perkasa tidak akan berpeluk tubuh, Perkasa akan terus berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam dan saya memberi amanaran kepada MCA supaya jangan sakiti orang Melayu kerana undi orang Melayu juga penting,” katanya.

Kelmarin Heng mendakwa Utusan Malaysia dan Perkasa yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Oleh itu beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana mengesyorkan gelombang “1Melayu, 1Bumi” yang mana disokong Perkasa walaupun ditolak penaungnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Heng memberitahu The Malaysian Insider bahawa akhbar milik Umno itu secara berterusan menerbitkan artikel yang bersifat perkauman dan ia akan memberi kesan kepada perpaduan negara.

Utusan Malaysia meminta Umno supaya menggerakkan gelombang “1Melayu, 1Bumi” yang melibatkan semua parti Melayu, dan mendakwa DAP berniat untuk menjatuhkan kepimpinan negara.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok mengingatkan gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang disyorkan akhbar harian berbahasa Malaysia itu akan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat Malaysia.

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.