Tengku-Abdullah-Sultan-Ahmad-Shah
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kini menjalani rawatan di Korea Selatan, hanya ingin mengetahui siapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditangkap kerana berkhalwat.

Menurut sumber yang sah, Tengku Mahkota Pahang tidak pernah campur tangan dalam isu tuduhan khalwat terhadap pemimpin PKR terbabit.

Menurut sumber berkenaan, pada malam 25 Februari lepas, Tengku Abdullah yang berada di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Seoul, telah menitahkan seorang pegawainya untuk bertanyakan siapakah pemimpin PKR terbabit.

"Pegawai berkenaan telah menghantar pesanan khidmat ringkas (sms) kepada saya: "Titah u check sape pemimpin PKR yg kena khalwat di Phg..tq"," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut sumber berkenaan, beliau telah menghubungi Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman untuk bertanyakan perkara berkenaan sebelum memaklumkan kepada Tengku Mahkota.

Semalam, Pengarah Penerangan kerajaan Selangor Dr Badrolamin Bahron mendakwa beliau dimaklumkan bahawa Tengku Mahkota Pahang mungkin mencemar duli dan campur tangan dalam isu tuduhan khalwat yang dilemparkan terhadap dirinya.

Beliau berkata kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Mahkota yang didakwa mengenalinya secara peribadi.

JAIP pada Sabtu lepas dilaporkan menahan seorang pemimpin PKR kerana disyaki berkhalwat dengan wanita berstatus isteri orang di sebuah hotel di Kuantan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd Gazali Abd Aziz menafikan dakwaan Badrolamin bahwa tangkapan itu adalah 'komplot terancang' daripada pejabat agama itu.
Sebaliknya, beliau menegaskan tindakan itu dibuat atas aduan daripada suami wanita terbabit yang menghubungi penguat kuasa Jaip supaya datang ke hotel itu kerana didapati isterinya bersama dengan lelaki lain.

Menurut sumber berkenaan, dakwaan yang mengatakan Tengku Mahkota telah mengarahkan orang kanannya bertemu Dr Badrolamin adalah tidak benar sama sekali.

Tengku Mahkota kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Seoul dan dijangka berangkat pulang pada 6 Mac ini. - Bernama
 
BLOG BATU VS KAYU