BN, PAS dan PKR berebut ‘Mufti Perlis’ untuk PRU13
Oleh Md Izwan dan Mohd Farhan Darwis
KUALA
LUMPUR, 25 Feb — PAS dan PKR berlumba untuk merekrut Mufti Perlis Dr
Juanda Jaya untuk bertanding di atas tiket mereka dalam Pilihan Raya
2013 akan datang, akan tetapi ulama tersebut turut memikirkan untuk
menyertai Barisan Nasional (BN), mencerminkan kepentingan undi golongan
agama konservatif.
The Malaysian Insider difahamkan, mufti yang lantang
tersebut telah berjumpa dengan beberapa personaliti di negeri
kelahirannya Sarawak baru-baru ini, termasuk pemimpin politik dan agama,
mendapatkan nasihat untuk membuat pilihan.
“Beliau baru sahaja pulang dari Sarawak. Ia bagi membincangkan dengan
sahabat rapat dan pandangan orang-orang senior dengan beliau,” kata
sumber kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi semalam.
Di laman sosial Twitter Sabtu lalu, Juanda memuat naik gambar
pertemuannya dengan Tun Abdul Rahman Ya’kub, pakcik kepada Ketua Menteri
Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau juga mendedahkan pertemuannya dengan Taib dan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu untuk mendengar pandangan kedua-dua
pemimpin itu mengenai “arah tuju negara”.
Akan tetapi sumber memberitahu Juanda masih memikirkan mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan terburu-buru.
“Tapi buat masa ini, beliau masih dalam analisis dan pemerhatian yang
berterusan. Kena nilai tempat terbaik untuk buat sumbangan secara
berkesan,” tambah sumber tersebut.
Sumber tersebut turut mengesahkan PAS dan PKR bersaing hebat untuk
mendapatkan keahlian Juanda, satu petanda agama memainkan peranan
penting dalam Pilihan Raya 2013.
“PAS dan PKR memang push beliau (Juanda) sekarang ini untuk bagi
persetujuan,” kata sumber sebelum menambah Juanda kini berada dalam
“peringkat akhir” sebelum mendedahkan pilihannya.
Jika Juanda menyertai politik, tambah sumber tersebut, beliau akan
mencipta sejarah sebagai Mufti pertama yang bertanding pilihan raya.
“Tetapi lanskap politik negara telah berubah. Parti yang menawarkan
senarai calon terbaik akan mempengaruhi mood pengundian,” kata sumber
lagi.
Cakap-cakap tentang kemungkinan penyertaan Juanda dalam politik
termasuk juga dengan rakannya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang
dikatakan akan menyertai pilihan raya akan datang.
Sebagai tokoh agama yang popular dan mempunyai pengaruh besar,
kedua-duanya dilihat sebagai aset kepada BN dan PR, dalam perlumbaan
untuk mendapatkan undi Melayu, kelompok terbesar dalam Malaysia yang
berbilang kaum.
Menurut The Straits Times (ST) Singapura semalam, Juanda
mengesahkan minatnya untuk menyertai politik, mengatakan perubahan
lanskap memerlukan pemimpin seperti dirinya untuk membuat polisi.
Keputusan yang akan dibuat dalam masa dua minggu lagi.” — Dr Juanda, sebagai dipetik The Straits Times
“Keputusan yang akan dibuat dalam masa dua minggu lagi,” beliau dipetik sebagai berkata. Akhbar tersebut turut melaporkan, Juanda lebih cenderung untuk
menyertai parti PR dan akan bertanding di kerusi sama ada Perlis atau
Sarawak, di mana kedua-duanya merupakan kubu kuat BN.
Awal bulan ini, dilaporkan Asri mengakui beliau memikirkan
kemungkinan untuk menyertai Pilihan Raya 2013, selepas berjumpa dengan
beberapa parti politik.
“Perbincangan memang ada... dalam tempoh satu dua minggu ini, saya akan beritahu,” kata beliau seperti dilapor Sinar Harian pada 15 Febuari.
Spekulasi tentang bekas mufti itu mungkin bertanding dalam pilihan
raya akan datang pada mulanya timbul apabila media melaporkan kedua-dua
BN dan PR mensasarkan tokoh agama yang popular itu sebagai kelebihan
untuk mendapatkan undi Melayu-Islam dalam pilihan raya akan datang.
Dipercayai Asri yang ketika ini bertugas sebagai pensyarah di
Universiti Sains Malaysia (USM) akan bertanding di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Penanti yang terletak dalam kawasan parlimen Permatang
Pauh di Pulau Pinang, kubu kuat kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Terdapat juga khabar angin Asri bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 sekiranya PR masih mengekalkan Pulau Pinang.
Pada masa lalu, bekas mufti Perlis itu dikaitkan dengan parti Islam
PAS, akan tetapi dinafikan olehnya dan mengatakan beliau tidak akan
menyertai parti politik.
0 orang berkata:
Post a Comment