Nik Aziz perlu beri penjelasan dakwa 'penerima BR1M haiwan'
22 Februari 2013
Gesaan tersebut disebabkan kenyataan beliau yang membawa pelbagai maksud dan telah mengelirukan rakyat yang menganggap perkara tersebut sepatutnya tidak dikeluarkan oleh seorang alim ulama seperti beliau.
Setiausaha Bekas-Bekas Polis dan Tentera Diraja (Veteran) Kelantan, Mohd Zain Che Musa berkata, sebagai seorang pemimpin yang baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah, perkara tersebut tidak sepatutnya keluar dari mulut Nik Aziz.
Beliau mengemukakan penjelasan berkenaan isu kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang didakwa menyamakan usaha murni pemberian BR1M sebagai memberi hampas kelapa dan padi kepada ayam dan kambing.
“Saya amat kesal dengan kenyataan beliau kerana seorang pemimpin seperti dia (Nik Aziz) tidak sepatutnya bercakap begitu dan menyamakan kita semua sebagai mana yang disebut kerana isu sekarang ialah penerima BR1M juga terdiri daripada semua golongan parti dalam negara kita, bukan orang yang mengundi Umno sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, Nik Aziz sepatutnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu meringankan beban dengan pemberian wang tersebut dan bukan hanya bercakap kosong untuk menghangatkan lagi pemberian duit rakyat itu.
Beliau berkata, jika benar kenyataan Nik Aziz itu menganggap penerima BR1M sebagaimana yang dinyatakan, penyokong Pas sepatutnya memulangkan kembali duit yang diterima supaya mereka tidak tergolong dalam haiwan seperti penerima lain.
“Semua rakyat dapat, tidak kira mana-mana parti, jika penyokong Pas anggap apa yang Nik Aziz beritahu itu betul, yang mana pemberian duit adalah cara jahiliah, maka saya menyeru kepada semua penyokong Pas untuk memulangkan kembali duit tersebut.
“Duit itu hak rakyat, kita sebagai penerima sepatutnya bersyukur, saya berharap beliau akan tarik balik kenyataan tersebut ataupun memberi penjelasan kepada seluruh rakyat yang menerima BR1M kerana sebagai seorang ketua negeri, itu salah satu contoh yang tidak baik,” katanya.
Mohd Zain juga berkata, tindakan Nik Aziz juga dikatakan memperlihatkan perwatakan sombong dan angkuh kerana memperlekehkan pemberian kerajaan persekutuan kepada rakyat.
“Kepada semua penyokong Pas dan pengundi yang atas pagar, fikir perkara ini betul-betul, jangan mudah melatah, jangan terlalu taksub dengan apa yang dikatakan sehingga kita menyekat kepala dan minda untuk menerima perkara-perkara positif tentang negara kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, pesara salah sebuah syarikat penjanaan elektrik, Yamin Razak, turut bersetuju dengan gesaan tersebut yang menganggap sebagai seorang pemimpin Islam, haiwan bukan contoh terbaik untuk dijadikan persamaan.
“Beliau pemimpin Islam, memperjuangkan Islam, tetapi cakap macam bukan orang Islam, dalam Islam sendiri melarang kita menyamakan manusia dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.
“Sebagai seorang pemimpin, guna perkataan atau kenyataan yang mana rakyat boleh faham dan jelas dengan maksud yang hendak disampaikan, tidak perlu menggunakan istilah lain yang akan memesongkan lagi pemahaman orang terhadap apa yang ingin dinyatakan,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment