Isu Batal Pasport: Peguam Tempelak Ketua Pengarah Imigresen Sebagai Jahil Undang-undang
Peguam: Tiada peruntukan untuk batal pasport
Akta Pasport 1966 tidak mempunyai peruntukan bagi pembatalan pasport Malaysia seperti yang didakwa oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Alias Ahmad, kata para peguam.
"Selepas meneliti Akta Pasport, saya tidak dapat mencari peruntukan mana yang membolehkan (Imigresen membatalkan pasport)," kata peguam Syahredzan Johan (kiri).
Malah, katanya, beliau tidak tahu adanya sebarang undang-undang yang membolehkan kerajaan membatalkan pasport Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, terdapat undang-undang individu yang memperuntukkan kuasa untuk menghalang individu daripada meninggalkan Malaysia, contohnya, di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 1997 dan Akta Kebankrapan 1967, dan juga mereka yang diikatjamin berkaitan kesalahan jenayah.
Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Syahredzan bagaimanapun menegaskan bahawa akta-akta tersebut hanya melarang individu keluar negara ini, tetapi bukan membatalkan pasport Malaysia yang sah.
David Matthews, seorang pakar dalam bidang tersebut, berkata sekatan ke atas individu di bawah undang-undang yang berasingan itu, bagaimanapun, tidak boleh dilakukan secara pentadbiran oleh ketua pengarah (KP), tetapi mesti melalui suatu perintah mahkamah.
Menurutnya, Akta Pasport merupakan satu undang-undang pentadbiran dan tidak berurusan tentang kewarganegaraan dan lain-lain.
Ketika dihubungi, David berkata, ia hanya membolehkan KP mengeluarkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia secara haram, dan tidak terpakai kepada rakyat tempatan.
Beliau berkata KP boleh berhujah bahawa di bawah Seksyen 12D akta tersebut, beliau boleh diberikan kuasa oleh menteri, tetapi ini lebih merujuk kepada perkara-perkara dasar.
Tetapi, tambahnya, apa-apa arahan seumpama itu hendaklah munasabah dalam erti kata undang-undang pentadbiran dan juga adil.
'Mencemarkan imej negara di luar negara', tambahnya, adalah samar-samar dan tidak boleh dijadikan sebab untuk membatalkan pasport.
Dalam soal pembatalan kewarganegaraan, katanya, ini adalah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya boleh diguna jika seseorang warganegara itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan kewarganegaraannya.
Katanya, ini termasuk perkara-perkara seperti menerima kewarganegaraan negara lain atau melaksanakan hak-hak rakyat negara lain, seperti mengundi.
"Tetapi ia bukan pembatalan per se. Seseorang itu tidak boleh dinafikan hak kewarganegaraan," katanya.
Beliau menambah, jika 6,564 orang yang disebut itu, didakwa di negara asing, maka mereka akan menghadapi hukuman undang-undang di sana.
Semalam, Alias dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata, jabatan itu akan membatalkan pasport Malaysia 6,564 rakyat Malaysia, antaranya kerana "mencemarkan imej Malaysia di luar negara".
Alias memberitahu akhbar tersebut bahawa ini selaras dengan Akta Pasport, tetapi tidak menyatakan secara khusus seksyen Akta tersebut.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata undang-undang itu hanya membenarkan kerajaan menghalang rakyat Malaysia daripada keluar negara, dan bukan menghalang mereka memasuki Malaysia.
Pada hari Isnin, beliau telah dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata rakyat Malaysia yang memprotes di luar negara boleh dihalang daripada pulang dan pasport mereka boleh dibatalkan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963.
Menurut Matthews, adalah mengejutkan bagi Alias berkata demikian kerana ia menunjukkan satu kejahilan undang-undang.
Seluruh seksyen itu merujuk kepada pendatang, kata Mathews sambil menambah bahawa cara Alias beralih dari satu akta kepada yang lain, menunjukkan beliau tidak tahu apa yang dicakapkannya.
Seksyen 8, Akta Imigresen menyatakan bahawa KP Imigresen boleh mengklasifikasikan mana-mana bukan warganegara sebagai pendatang yang dilarang, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 8 (3) akta yang sama, dan melarangnya daripada memasuki negara ini.
Dalam satu kes, kerajaan telah membatalkan pasport pemimpin Hindraf - yang kini menjadi timbalan menteri, P Waythamoorthy - memaksanya ketika itu hidup dalam buangan di London.
Agensi Sempatan United Kingdom, dalam jawapan bertulis kepada permohonan peguam Waythamoorthy di bawah Akta Kebebasan Maklumat, berkata pasport itu "dibatalkan kerana pihak berkuasa Malaysia mahu menangkap Waythamoorthy untuk menghadapi tuduhan jenayah."
Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Alias untuk mendapatkan penjelasan mengenai seksyen Akta Pasport yang mahu digunakan untuk membatalkan pasport, tetapi belum berjaya menghubungi. -mk
,br>
Kritik kerajaan akan dibatalkan pasport mereka? Kenapa begitu?
Dalam keadaan kedua-dua pihak pembangkang dan parti kerajaan sedang berperang mulut berhubung dengan banyak isu, keluar pula kenyataan yang sangat mengelirukan dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Alias Ahmad. Mengapa dan kenapa kenyataan yang sangat mengelirukan ini dikeluarkan, hanya beliau sahajalah yang tahu.
Dato' Alias telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan di luar negara dan ini tidak dapat diterima. Mengkritik kerajaan yang memerintah adalah hak rakyat negara ini dan ia boleh dilakukan di mana-mana, samada di dalam atau dari luar negara.
Kita bersetuju rakyat yang mengkritik dan memburukkan negara itu wajar diambil tindakan seperti itu, tetapi setakat mengkritik kerajaan yang mereka anggap rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu bukannya mengkritik negara. Jika seorang rakyat mengkritik kehadiran sistem negara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan apa yang berkaitan dengannya adalah salah bagi negara ini dan wajar pasport mereka dibatalkan.
Tetapi jika seseorang mengkritik kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan membantutkan usaha memperkayakan perpaduan kaum itu tidak salah dan adalah ‘ultra-vires’ jika tindakan diambil terhadap rakyat itu. Jika semua kritikan terhadap kerajaan itu membolehkan pasport mereka terbatal maka negara kita seolah-olah sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun.
Rakyat dan pemimpin yang meminta pertolongan kuasa asing, misalnya CIA, untuk menumbangkan kerajaan, itu adalah tindakan yang jahat dan perlu pasport mereka itu ditarik balik atau dibatalkan terus. Tindakan ini adalah tindakan memusuhi negara dan Yang Di Pertuan Agong, maka mereka wajar dibatalkan pasport mereka.
Tetapi jika setakat mengatakan Najib atau Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak sesuai dengan negara, itu adalah isu politik dalaman dan tidak sepatutnya pihak imigresen membatalkan pasport mereka. Tuduhan seperti itu pun sememangnya ada kebenarannya.
Apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh mereka yang memegang amanah untuk mentadbir jabatan dan negaranya, kita amat khuatir dengan jenis apa negara kita akan berada pada masa-masa yang akan datang.
Saya secara peribadi berharap Ketua Pengarah Imigresen itu akan membuatkan pencerahan yang betul kerana ramai rakyat yang sedang tertanya-tanya kenapa kenyataan itu keluar dalam waktu yang sangat panas ini. Adakah kenyataan itu untuk menyediakan pemikiran rakyat yang jika ada pimpinan mana-mana pihak yang akan dibatalkan pasportnya nanti, rakyat diminta tidak bertindak dengan cara ganas atau apa?
Ramai yang sangat keliru sekarang ini. Ada pihak yang menggunakan kuasa sejak berdekad-dekad lamanya. Ada pihak yang telah merasakan akan dapat menggantikan kuasa sudah begitu celupar untuk mengambil tindakan dan memenjarakan pihak yang akan digantikannya itu.
Kalau hendak ambil tindakan pun biarlah setelah kuasa diperolehi. Tidak perlu bercakap besar di atas nama ketegasan dan pembaharuan. Apabila ternampak 'rusa di hutan tembak dahulu baru bersorak'. Tetapi mereka ini bersorak baru hendak menembaknya. Belum pun sempat menembak rusa sudah cabut lari.
Bila rusa sudah lari, marah-marah pula kepada semua orang kerana kesalahan sendiri itu. Diri sendiri tidak pernah bersalah. -aspanaliasnet
0 orang berkata:
Post a Comment