PAS Sarawak harap ada jalan darat yang baik
- Published on Wednesday, 29 May 2013 12:56
- Written by Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR:
PAS Sarawak meminta tindakan setimpal dikenakan ke atas pengusaha bot
yang gagal mematuhi peraturan dengan membawa lebihan muatan.
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid
berkata, pihak pengusaha bot harus bertanggungjawab atas insiden bot
ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, semalam.
"Bot yang karam itu membawa lebihan penumpang dan muatan hingga ada yang duduk atas bumbung bot.
"Pihak pengusaha bot seharusnya
mengutamakan keselamatan penumpang, bukan mengutamakan keuntungan tapi
akhirnya kemalangan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari
ini.
Adam juga berkata, kerajaan juga harus
memberi perhatian kepada kemudahan asas penduduk Sarawak agar kejadian
sebegini tidak berulang.
"PAS mengharapkan ada jalan darat yang
baik untuk penduduk Sarawak dan pengangkutan air perlu ditingkatkan
tahap keselamatan operasinya memandangkan ini adalah jalan utama
penduduk di sini.
"Memang menjelang Hari Gawai ramai
penduduk yang akan pulang ke kawasan pedalaman dan mengambil masa yang
lama dan tidak selamat," katanya.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tersebut.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam,
bot ekspres tersebut karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam
perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.
Siasatan awal menunjukkan bahawa bot
ekspres tersebut melebihi kapasiti 67 tempat duduk dan dipercayai
terlebih muatan dengan 200 penumpang pulang dari pesta Gawai Dayak,
kemudian menghadapi masalah enjin gagal berfungsi sebelum merempuh batu
dan karam.
0 orang berkata:
Post a Comment